Tragedi lemas: Dua mangsa selamat cedera, masih dirawat di Hospital Kota Tinggi

3 Sep 2026 • 5:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tragedi lemas: Dua mangsa selamat cedera, masih dirawat di Hospital Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Dua remaja yang terselamat dalam tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat, di sini mengalami kecederaan dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, kedua-dua mangsa tersebut ditemukan di kawasan batuan pantai berkenaan.

“Dua mangsa yang selamat dikenalpasti sebagai Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan, masing-masing berusia 16 tahun. Difahamkan mereka masih dirawat di Hospital Kota Tinggi, di sini.

“Kedua-duanya mengalami kecederaan termasuk trauma. Jadi kita akan sediakan perkhidmatan sokongan bersesuaian kepada mereka, termasuk keluarga empat mangsa yang lain,” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian, di sini hari ini.

Tambah Dr. Muhammad Naqib, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melalui pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi akan memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga mangsa serta keadaan emosi murid dan warga sekolah yang terkesan.

“Pihak sekolah turut membantu keluarga mangsa dalam urusan dokumentasi berkaitan, termasuk berkenaan perlindungan takaful murid tertakluk kepada syarat dan ketetapan.

“Mewakili kerajaan negeri, saya zahirkan simpati dan dukacita kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga ahli keluarga semua pihak yang terkesan diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Semalam, enam remaja lemas selepas menjalankan aktiviti mandi pantai, sebelum dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam, manakala empat yang lain hilang.

Dua mangsa hilang telah ditemukan pasukan mencari dan menyelamat, dikenalpasti sebagai Alif Taqiuddin Kamal Hasrul yang ditemukan pada pukul 1.25 petang semalam, manakala Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor pula ditemukan pada pukul 1.53 petang, hari ini.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan pihak berkenaan bagi menemukan dua lagi mangsa yang masih hilang, dikenal pasti sebagai Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal.-UTUSAN

The post Tragedi lemas: Dua mangsa selamat cedera, masih dirawat di Hospital Kota Tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved