'Alhamdulillah, tiket umrah ni untuk mak' – Niat bawa ibu ke Tanah Suci tercapai, kisah Abang Minyak Hitam Jalanan sentuh hati ramai

24 Apr 2026 • 10:16 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Alhamdulillah, tiket umrah ni untuk mak' – Niat bawa ibu ke Tanah Suci tercapai, kisah Abang Minyak Hitam Jalanan sentuh hati ramai

TULAR di media sosial, kisah seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ apabila mencuri perhatian ramai kerana sikapnya yang konsisten membantu orang lain tanpa berkira, walaupun sekadar membaiki motosikal di tepi jalan.

Siapa sangka, pertolongan yang tidak diminta sebarang balasan yang dilakukan Mohd Yusof Mohd Noor itu akhirnya dibalas dengan rezeki yang tidak disangka apabila menerima tajaan dua tiket penerbangan umrah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Image from: 'Alhamdulillah, tiket umrah ni untuk mak' – Niat bawa ibu ke Tanah Suci tercapai, kisah Abang Minyak Hitam Jalanan sentuh hati ramai

Peluang itu cukup bermakna buatnya kerana lelaki itu membuka ruang untuk merealisasikan hasrat lama membawa ibunya ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, semua ini rezeki daripada ALLAH. Terima kasih kepada Dr Zulkifli dan TV Al-Hijrah atas peluang ini.

'Sejak tahun lepas lagi saya memang berniat nak bawa mak ke umrah,” ujarnya.

Image from: 'Alhamdulillah, tiket umrah ni untuk mak' – Niat bawa ibu ke Tanah Suci tercapai, kisah Abang Minyak Hitam Jalanan sentuh hati ramai

Mohd Yusof berkata demikian ketika ditemui SinarPlus di majlis Sidang Media Aidiladha TV AlHijrah yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd Yusof turut berkongsi luahan menerusi hantaran di Facebook miliknya.

"Hari ini aku dijemput dari TV AlHijrah, disebabkan mak aku memang suka tengok TV AlHijrah, aku datang..

“Aku pun sampai duduk makan, datang bos besar TV AlHijrah sebelah aku, dia cakap dengan aku – Usop awak pernah pegi umrah ke haji ke, saya tak pernah lagi tuan.

“Dah nak habis makan, sekali nama aku dipanggil untuk naik atas pentas, rupanya Menteri Agama & bos besar TV AlHijrah bagi tiket untuk pergi umrah.

“Allahuakbar Alhamdulillah rezeki, aku terus Whatsapp mak bagi tahu dia – Mak… Usop nak mak pergi umrah, Alhamdulillah sebelum ini ada niat untuk mak, Alhamdulillah ini rezeki mak,” tulisnya.

Walaupun kini menjadi perhatian ramai, Mohd Yusof menegaskan, segala yang dilakukannya selama ini bukan untuk mencari balasan.

Selama tujuh tahun menggerakkan inisiatif ‘Minyak Hitam Jalanan’, dia hanya menjalankan amanah daripada infak orang ramai untuk membantu mereka yang memerlukan.

Image from: 'Alhamdulillah, tiket umrah ni untuk mak' – Niat bawa ibu ke Tanah Suci tercapai, kisah Abang Minyak Hitam Jalanan sentuh hati ramai

“Saya buat semua ini kerana ALLAH. Saya tak minta apa-apa balasan. Ini tanggungjawab saya untuk salurkan bantuan,” ujarnya.

Pada masa sama, lelaki tersebut mengakui sentiasa berhati-hati dalam menguruskan sumbangan yang diterima, malah tidak berani mengambil dalam jumlah yang banyak kerana bimbang tersalah guna.

"Saya juga tak berani ambil duit infak banyak-banyak sebab takut tersalah guna atau gelap mata.

"Apa yang saya buat ini sekadar membantu setakat mana yang mampu sahaja," katanya lagi.

Dalam pada itu, dia cukup berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberi sokongan serta mendoakan usahanya.

Baginya, masih ramai lagi individu lain yang melakukan kebaikan, cuma tidak ditonjolkan.

“Kadang-kadang benda nampak kecil, tapi besar maknanya,” katanya.

Sokongan daripada isteri juga menjadi antara kekuatan utama dalam meneruskan usaha tersebut.

Sementara itu, Zulkifli berkata, tajaan berkenaan diberikan selepas mengetahui Mohd Yusof belum pernah menunaikan umrah sebelum ini.

“Saya tanya, pernah pergi haji atau umrah? Jawapannya belum.

"Jadi kita hadiahkan dua tiket penerbangan umrah. Siapa yang ingin dibawa, terpulang kepadanya,” katanya.

Image from: 'Alhamdulillah, tiket umrah ni untuk mak' – Niat bawa ibu ke Tanah Suci tercapai, kisah Abang Minyak Hitam Jalanan sentuh hati ramai

Sebelum ini, Mohd Yusof tular apabila membantu seorang pemuda Cina dikenali sebagai Dicky yang mengalami kerosakan motosikal di tepi jalan sekitar tengah malam.

Walaupun kos pembaikan mencecah RM145, lelaki itu hanya mempunyai wang yang cukup untuk kegunaan sendiri.

Tersentuh dengan keadaan tersebut, Mohd Yusof mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang bayaran dan menggunakan wang infak bagi menampung kos berkenaan.