
KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz enggan mengambil pusing dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan gandingan dalam teater Mansur & Liu, Melinda Dadew, kononnya mereka sedang menjalinkan hubungan istimewa.
Menurut Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 35, buat masa ini dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pementasan teater berkenaan dan tidak mahu memikirkan isu yang tercetus di media sosial.
“Saya minta maaf sebenarnya kerana beberapa hari minggu ini saya tidak fokus kepada media sosial. Tugas saya sebagai pelakon teater Mansur & Liu sangat padat.
“Jadi, bagi saya lebih baik saya luangkan masa untuk fokus bagaimana hendak memperbaiki watak Sultan Mansur berbanding memberi perhatian kepada perkara di luar bidang kuasa saya,” katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Malam Media Teater Muzikal Mansur & Liu yang berlangsung di Istana Budaya, di sini, Rabu lalu.
Tambah Aliff, dia tidak mengambil hati terhadap komen negatif yang dilemparkan terhadapnya dan memilih untuk memberikan perhatian kepada tanggungjawab yang sedang digalas.
“Orang nak komen apa mengenai saya, tidak mengapa. Macam saya selalu kata, akan ada orang yang suka dan ada yang tidak suka.
“Ada orang ada kerja, ada orang tidak ada kerja. Bagi saya, saya ada kerja yang sangat berat dan tanggungjawab yang sangat besar untuk digalas.
“Jadi, fokus saya adalah di situ. Selebihnya saya tidak boleh nak kata apa,” katanya.
Terdahulu, seorang individu memuat naik tangkap layar daripada Instagram Story Aliff yang memaparkan pelakon itu sedang menjalani latihan bersama Melinda bagi pementasan teater Mansur & Liu.
Individu berkenaan kemudian mendakwa kedua-duanya sudah menjalinkan hubungan istimewa susulan aksi mesra yang dipamerkan dalam hantaran tersebut.
Dakwaan itu turut mendapat perhatian kakak Melinda, Missphris, yang tampil mempertahankan adiknya dan dipercayai akan mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa membuat tuduhan palsu berkenaan.
The post Aliff Aziz fokus teater, enggan layan dakwaan bercinta appeared first on MYBERITA.






