Aliff Daniel, ibu dan adik selesai lafaz taubat Istitabah

5 Nov 2026 • 10:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Aliff Daniel, ibu dan adik selesai lafaz taubat Istitabah

Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adiknya melafazkan ikrar taubat secara terbuka menerusi Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini susulan penglibatannya dalam ritual bertentangan hukum syarak.

SHAH ALAM: Lelaki yang tular susulan tindakannya menyertai ritual agama bertentangan dengan hukum syarak, Aliff Daniel Adli, 21, bersama-sama ibu, Rohizayanti Ramli, 52, serta adik perempuannya, Nur Ranea Ezreen, 19, melafazkan taubat secara terbuka hari ini menerusi Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di hadapan tiga saksi utama.

Ketiga-tiga individu itu membuat pengisytiharan dan ikrar taubat secara terbuka pada 2.40 petang di hadapan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS Datin Paduka Dr Khadijah Khambali@Hambali.

Pengisytiharan berkenaan turut disaksikan tiga pemerhati utama iaitu Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS Muhamad Sujak Muhamad Dasuki. 

Salehuddin berkata pelaksanaan Istitabah itu mencerminkan pendekatan institusi agama yang bukan sahaja menitikberatkan aspek penguatkuasaan, malah memberikan perhatian kepada usaha pendidikan, penerangan, bimbingan, nasihat dan pemulihan akidah. 

“Pendekatan ini penting bagi memastikan individu yang telah insaf dan mengakui kesilapan diberikan ruang untuk memperbetul pegangan serta kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Akidah merupakan asas keimanan, panduan kehidupan dan benteng yang membentuk jati diri umat Islam.

“Justeru, usaha mempertahankannya tidak boleh dipandang ringan atau diserahkan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama bersepadu seluruh institusi agama,” katanya pada sidang media selepas majlis melafaz taubat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Istitabah bukan sekadar pengisytiharan atau lafaz taubat di hadapan khalayak tetapi merupakan permulaan kepada usaha memperbetulkan pegangan, memperkukuh kefahaman dan membina semula keyakinan berasaskan ajaran Islam yang sahih.

Salehuddin berkata taubat menuntut lebih daripada pengakuan melalui lisan, malah perlu disertai penyesalan, meninggalkan kesalahan serta keazaman untuk tidak mengulanginya sebelum mendalami ilmu daripada sumber yang sahih, mendekati para alim ulama dan asatizah serta mengekalkan istiqamah dalam kehidupan seharian.

Terdahulu, dalam pengisytiharan itu, Aliff Daniel mengakui pernah mengamalkan pelbagai ritual keagamaan selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak, sehingga mencetuskan penghinaan terhadap Islam dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dia turut mengakui perbuatannya bercanggah dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh menimbulkan kegusaran awam dan menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Aliff Daniel turut berazam mendalami dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan yang benar serta memperbaiki diri sebagai seorang Muslim.

“Dengan ini, saya sesungguhnya bertaubat, kembali ke pangkal jalan, berusaha untuk belajar, mendalami dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan ilmu yang benar. Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik daripada sebelumnya dan meyakini akidah Islam yang jazam (disimpul mati) serta bertingkah laku mengikut akhlak Islam,” katanya.

Dia turut menyeru individu yang terpengaruh dengan perbuatannya sebelum ini supaya meninggalkan kepercayaan berkenaan dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Semalam, Aliff Daniel diperintahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman MAIS, Hulu Yam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves. Selangor pada 24 Jan 2024.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved