
SHAH ALAM, 5 NOV: Aliff Daniel Adli, 21, bersama ibu dan adiknya mengisytiharkan taubat secara terbuka sebagai usaha kembali menghayati ajaran Islam menerusi Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Majlis berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam itu merupakan sebahagian daripada proses pemulihan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Aliff Daniel bersama ibunya, Rohizayanti Ramli dan adiknya, Nur Ranea Ezreen membuat pengisytiharan di hadapan saksi utama termasuk Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir.
Turut menjadi saksi ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato' Mohd Shahzihan Ahmad; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Datin Paduka Dr Khadijah Khambali@Hambali.

Menerusi lafaz pengisytiharannya, Aliff Daniel menyatakan keinsafan terhadap perbuatan lalu selain berazam memperbaiki pegangan agama dan mendalami ajaran Islam.
“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik dari sebelumnya dan meyakini akidah Islam yang jazam serta bertingkah laku mengikut akhlak Islam,” katanya.
Ibunya, Rohizayanti pula berharap pengisytiharan itu menjadi titik permulaan kepada perubahan diri dan keluarganya.
“Semoga Allah SWT menerima taubat saya, mengampuni segala ketelanjuran saya sebagai seorang ibu, membuka pintu hidayah yang luas buat anak saya, serta menetapkan hati kami sekeluarga teguh di atas jalan kebenaran Islam sehingga akhir hayat,” katanya.
Sementara itu, Nur Ranea turut mengakui kekhilafan lalu dan berazam memperbetulkan pegangan agama serta kembali kepada ajaran Islam.

“Saya mengaku dan menyesali sekiranya terdapat tindakan, sikap atau kelakuan, kekhilafan masa lalu atau kegagalan saya dalam memainkan peranan sebagai anak dan adik,” katanya.
Pelaksanaan Istitabah mencerminkan pendekatan institusi agama yang bukan hanya menekankan penguatkuasaan, malah merangkumi pendidikan, penerangan, bimbingan, nasihat dan pemulihan akidah.
MAIS turut menegaskan kepentingan kerjasama JAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi memastikan usaha penyelidikan, pendidikan, penguatkuasaan serta pemulihan akidah dilaksanakan secara menyeluruh.
Terdahulu, Aliff Daniel diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam.
Perintah itu dibuat selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ritual mencucuk anggota badan dan berlutut dengan kedua-dua tangan dirapatkan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves pada 24 Januari 2024.





![“Saya Kembali Ke Jalan Islam” – Aliff Daniel Selesai Isytihar Taubat, Akui Pernah Amalkan Ritual Agama Lain [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/Mengaku-Amalkan-Ritual-Agama-Lain-Aliff-Daniel-Selesai-Isytihar-Taubat-Ucap-Syahadah-Video-1.jpg?t=1793873779)
