
KOTA BHARU: Jaguh Muay Thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau Aliff Rakib, 22, mengesahkan dia akan bertarung dengan juara dunia ONE Strawweight Muay Thai dari Thailand Prajanchai PongSuphan PK pada Oktober ini.
Aliff Rakib yang merupakan juara dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai berkata, walaupun belum ada pengumuman rasmi namun dia akan membuat persiapan rapi menjelang pertarungan itu nantu.
“Target Aliff selepas ini, Aliff nak jadi juara yang sebenar dan dapat bawa balik satu lagi tali pinggang kejuaraan,” katanya kepada pemberita pada majlis meraikan kepulangannya yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.
Mengulas lanjut, Aliff Rakib memberitahu, dia berharap pertemuan itu berlangsung di Malaysia.
“Kalau buat kat Malaysia, Prajanchai takutlah sikit,” ujarnya secara berseloroh.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Aliff Rakib mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao dalam pertarungan utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.
Aliff Rakib menewaskan Sam-A menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai.
Kejayaan itu cukup bermakna apabila atlet negara berkenaan berjaya menewaskan salah seorang nama paling disegani dalam arena Muay Thai dunia di gelanggang keramat sukan tempur Thailand.-UTUSAN
The post Aliff Rakib cabar Prajanchai Oktober ini appeared first on Utusan Malaysia.





