
KOTA BHARU: Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau Aliff Rakib, 22, membuat kejutan apabila menghadiahkan sebuah banglo bernilai RM1 juta kepada kedua-dua ibu bapanya.
Hadiah istimewa itu diberikan kepada Suriati Che Wook, 46, dan Rakib Ahmad, 53, ketika majlis semasa majlis meraikan jaguh Muay Thai negara itu di Lembah Sireh di sini, hari ini.
Pengumuman itu membuatkan, kedua-dua ibu bapanya tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata sejurus menerima kejutan tersebut.
Aliff Rakib berkata, pemberian rumah berkenaan adalah tanda penghargaan dan membalas jasa kedua-dua ibu bapanya yang banyak memberikan sokongan sehingga dia berjaya mencapai tahap sekarang.
“Alhamdulillah, hasil simpanan wang selama ini saya berjaya mengumpulnya dan menghadiahkan rumah banglo bernilai RM1 juta yang terletak di Rantau Panjang.
“Saya akan mengadakan majlis kesyukuran pada minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di sini pada majlis meraikan kepulangannya yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad.
Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, dia juga akan membawa kedua-dua ibu bapa untuk menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi.
Katanya, selain itu, dia juga akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya dari Thailand dalam masa terdekat.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Aliff Rakib mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao dalam pertarungan utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.
Aliff Rakib menewaskan Sam-A menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai.
Kejayaan itu cukup bermakna apabila atlet negara berkenaan berjaya menewaskan salah seorang nama paling disegani dalam arena Muay Thai dunia di gelanggang keramat sukan tempur Thailand.-UTUSAN
The post Aliff Rakib hadiah banglo RM1 juta buat ibu, ayah appeared first on Utusan Malaysia.






