Aliran masuk asing kembali pulih catat RM2.5 bilion pada Jun 2026, namun risiko global masih tinggi - UOB

LocalBusiness & Finance
9 Jul 2026 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aliran masuk asing kembali pulih catat RM2.5 bilion pada Jun 2026, namun risiko global masih tinggi - UOB Image from: Aliran masuk asing kembali pulih catat RM2.5 bilion pada Jun 2026, namun risiko global masih tinggi - UOB amree09/07/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Julai – Keyakinan pelabur luar terhadap Malaysia menunjukkan tanda pemulihan dengan aliran masuk portfolio asing di Bursa Malaysia mencatat pembelian bersih RM2.5 bilion pada Jun 2026.

 

Menurut UOB Global Economics and Markets Research, situasi bulan itu lebih baik berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM8 bilion pada Mei 2026, namun cabaran risiko global masih dinilai sebagai tinggi.

 

Antaranya ujar firma itu, kesan akibat ketidaktentuan dasar kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik global yang terus menjadi isu utama pasaran serta diteliti para pelabur luar.

 

"Pemulihan kali ini didorong terutama pembelian bersih sekuriti hutang Malaysia oleh pelabur asing sebanyak RM4.9 bilion dan mengimbangi aliran keluar bersih ekuiti sebanyak RM2.4 bilion," katanya.

 

Perubahan sentimen itu turut disokong ketegangan yang semakin reda di rantau Timur Tengah, selain impak pilihan raya negeri di Malaysia yang memberi keyakinan terhadap kesinambungan dasar domestik.

 

Bagaimanapun UOB berkata, sentimen pelabur asing dilihat masih lagi dipengaruhi oleh jangkaan Rizab Persekutuan AS yang berkemungkinan menaikkan kadar faedah negara itu sekali lagi pada tahun ini.

 

Bursa Malaysia_DagangNews2026

 

Firma itu turut memaklumkan yang rizab antarabangsa Malaysia meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut kepada AS$132.6 bilion (RM540.5 bilion) pada Jun 2026, paras tertinggi sejak Januari 2014.

 

"Tahap simpanan bank pusat itu kekal kukuh dengan mampu menampung 4.7 bulan import barangan dan perkhidmatan yang tertangguh serta bersamaan 0.9 kali hutang luar negara jangka pendek," jelasnya.

 

UOB namun melihat kedudukan bersih pertukaran asing jangka pendek Bank Negara Malaysia (BNM) terus melebar untuk bulan yang keempat kepada AS$24.7 bilion (RM100.7 bilion) setakat akhir Mei 2026.

 

Jumlah itu bersamaan 18.9% daripada keseluruhan rizab antarabangsa negara dan merupakan paras tertinggi sejak April 2024, sekali gus menjadi antara petunjuk yang terus dipantau oleh pasaran.

 

Dalam tempoh terdekat, prospek aliran modal akan terus dipengaruhi hala tuju dasar monetari AS, situasi di Timur Tengah, ketegangan perdagangan global serta kesinambungan dasar ekonomi Malaysia.

 

"Walaupun asas ekonomi Malaysia kukuh, faktor luaran dijangka memainkan peranan dalam menentukan sentimen pelabur, khususnya apabila pasaran global semakin berhati-hati terhadap risiko," katanya.

 

Justeru, UOB menjangka aliran modal asing terus berubah-ubah dalam beberapa bulan, manakala nilai ringgit diunjur kekal berdepan turun naik ketidaktentuan ekonomi dunia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved