Aliran trafik di lebuh raya utama lancar pada pagi Aidiladha

7 Jun 2025 • 11:34 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Trafik di lebuh raya utama di seluruh negara pada pagi Aidiladha dilaporkan lancar dan terkawal dengan sedikit peningkatan kenderaan di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran lalu lintas lancar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2, serta semua lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang.

"Sebanyak 30 lorong pintar diaktifkan di sepanjang Lebuhraya PLUS hari ini, bagi memastikan trafik kekal lancar," katanya lapor Bernama.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 atau LLM 1-800-88-7752 serta melalui laman X @plustrafik dan @llmtrafik.

Sementara itu di Kelantan, aliran lalu lintas di dua pintu sempadan negeri iaitu melalui Pahang di Gua Musang-Kuala Lipis dan Terengganu menerusi jalan Pasir Puteh, juga lancar setakat jam 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata aliran trafik di pintu sempadan Kelantan-Terengganu itu lancar dengan pergerakan kenderaan seperti biasa.

Terdahulu jurucakap polis negeri memaklumkan pihaknya mempersiapkan anggota bagi melakukan pemantauan dan kawalan terhadap lalu-lintas di kedua-dua kawasan pintu sempadan itu bagi memastikan laluan trafik kekal lancar. - 7 Jun, 2025