
KUALA LUMPUR - Aliran trafik di lebuh raya utama negara perlahan petang ini susulan peningkatan jumlah kenderaan dengan jangkaan berlaku kelewatan di beberapa lokasi.
Ia susulan kepulangan orang ramai ke ibu kota, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) E1 arah utara, pergerakan perlahan dikesan dari Jawi ke Bandar Cassia, Permatang Pauh ke Bertam, Sungai Petani Selatan ke Gurun, Alor Setar Utara ke Plaza Tol Hutan Kampung serta Jitra Selatan ke Plaza Tol Jitra.
Sementara bagi arah selatan pula, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Kepala Batas ke Plaza Tol Hutan Kampung, Pendang ke Gurun, Sungai Petani Utara ke Sungai Petani Selatan, Sungai Dua ke Perai, Juru ke Bukit Tambun, Sungai Perak ke Terowong Meru, Tapah ke Slim River serta Hospital Sungai Buloh ke Sungai Buloh.
"Di PLUS E2 arah utara, trafik perlahan di beberapa sektor antaranya Pasir Gudang ke Kempas, Senai ke Sedenak, Yong Peng ke Pagoh, Pedas Linggi ke Seremban, serta dari Putra Mahkota ke Kajang dan laluan menghala ke pusat bandar selepas Plaza Tol Sungai Besi.
“Bagi PLUS E2 arah selatan, trafik perlahan di Plaza Tol Sungai Besi ke Bangi, Nilai ke R&R Seremban, Port Dickson ke Hentian Senawang, Tangkak ke Bukit Gambir, Simpang Renggam ke Kulai dan Kempas ke Pasir Gudang,” lapor Bernama.
Sebagai langkah proaktif bagi memaksimumkan kelancaran trafik, sebanyak 34 lorong pintar (Smart Lane) telah diaktifkan di sepanjang Lebuhraya PLUS hari ini bagi memudahkan perjalanan pengguna.
Sementara itu, dianggarkan tiga juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama hari ini susulan pergerakan pulang orang ramai dari kampung halaman ke ibu kota, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Memetik laporan TVS, jumlah berkenaan konsisten dengan trend peningkatan yang dipantau LLM sejak semalam.
Jurucakap LLM memberitahu, hari ini dijangka menjadi tempoh kemuncak aliran trafik apabila ramai pengguna lebuh raya mengambil peluang pulang ke ibu kota, sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan dan kembali bekerja. - 28 Mac, 2026
The post Aliran trafik di lebuh raya utama perlahan petang ini appeared first on Scoop.


