Aliran Trafik Di Pulau Pinang Bakal Sesak, Sebaik Projek LRT Laluan Mutiara Dimulakan

LocalPolitics
3 Oct 2025 • 8:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Warga Pulau Pinang akan berhadapan dengan kesesakan trafik teruk di sepanjang jalan utama di Bayan Lepas bermula pertengahan Januari 2026.

Ini kerana satu laluan utama itu akan dikurangkan kepada beberapa lorong bagi memberi laluan kepada pembinaan jajaran baharu transit aliran ringan (LRT), Laluan Mutiara.

Pengarah Projek SRS Consortium, Adil Putra Ahmad berkata, kerja-kerja persiapan bagi pembinaan jajaran LRT itu kini sedang dijalankan.

“Kami menjangkakan lencongan trafik besar-besaran dan pengalihan aliran trafik di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah akan bermula pertengahan Januari tahun depan.

image is not available

"Lencongan trafik itu akan bermula dari persimpangan Kampung Jawa hingga ke persimpangan Mayang Pasir," katanya ketika sesi town hall mengenai projek LRT bersama industri di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) yang dianjurkan oleh InvestPenang di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini pada Khamis.

Beliau menambah, langkah itu akan menyaksikan jalan tiga lorong di kawasan tersebut dikurangkan kepada dua lorong bagi laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan laluan ke arah George Town.

"Lencongan trafik itu perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan jejambat untuk landasan LRT sepanjang lebih satu kilometer di kawasan berkenaan.

"Kerja-kerja pembinaan di kawasan itu dijangka mengambil masa kira-kira 38 bulan dan dijangka siap pada Disember 2028," jelasnya lagi.

“Projek LRT Laluan Mutiara yang dijangka menelan kos bernilai RM16 bilion telah diluluskan Kabinet dan dibiayai Kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 akan dibangunkan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset.

Projek ini merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.