
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini tular satu video memaparkan seorang penunggang motosikal melanggar seorang pelajar perempuan yang sedang melintas di hadapan Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Menerusi video tular tersebut, awalnya kelihatan dua orang pelajar berada di bahu jalan sementara seorang pengawal sedang memerhatikan lalu lintas sebelum membenarkan mereka melintas.
Sebaik melihat keadaan selamat, kelihatan pengawal itu turut berjalan bersama-sama melintasi garisan zebra tersebut dengan dua pelajar berkenaan sebelum mereka berlari.
Namun sebaik menghampiri penghujung jalan secara tiba-tiba datang sebuah motosikal lalu melanggar salah seorang murid sehingga menyebabkan dia terjatuh. Turut kelihatan pengawal terbabit memeriksa keadaannya sebelum mereka berlalu pergi ke bahu jalan.
Apa yang mencuri tumpuan motosikal berkenaan dilihat tidak berhenti sehingga mencetuskan kemarahan netizen.
Polis sedang mengesan penunggang motosikal langgar pelajar melintas di depan sekolah
Terbaharu, polis memaklumkan pihaknya sedang mengesan penunggang motosikal yang tular dalam video berkenaan.
Jelas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris menerusi siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku sewaktu pulang dari sekolah.
“Semasa kejadian, murid berusia lapan tahun berkenaan sedang melintas jalan bersama rakannya sebelum dia dilanggar sebuah motosikal.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali kiri.
“Laporan polis berhubung kejadian telah diterima dan usaha untuk mengesan penunggang motosikal terbabit sedang dilakukan,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Minta saksi atau orang awam tampil beri maklumat
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule10 LN 166/59).
Dalam masa sama Helmi turut meminta saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu untuk tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Azrol Md Rejab di talian 019 5429571 untuk membantu siasatan.
“Pihak polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika memandu di kawasan sekolah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak.”
Source:



![Warga Emas Sebak Selepas Peniaga Bundle Beri Kasut Percuma Pada Cucu [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)