Aliran trafik lebuh raya mula sesak teruk tengah hari ini

29 Aug 2026 • 1:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aliran trafik lebuh raya mula sesak teruk tengah hari ini

PETALING JAYA: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara mula sesak teruk menghala ke utara, selatan dan Pantai Timur sempena cuti Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, antara lokasi yang mengalami kesesakan teruk setakat tengah hari ini ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, khususnya dari Jawi menuju Pulau Pinang.

Katanya, trafik di PLUS E1 arah utara turut perlahan dari Bukit Lanjan hingga Rawang, manakala aliran kenderaan dari Bukit Beruntung ke Bukit Tagar dilaporkan sedikit perlahan.

“Setakat tengah hari ini, trafik sesak teruk menghala ke utara, terutama dari Jawi ke Pulau Pinang.

“Selain itu, trafik perlahan direkodkan dari Bukit Lanjan hingga Rawang, Bukit Beruntung ke Bukit Tagar serta dari Slim River menghala ke Sungkai, Bidor ke Tapah dan seterusnya ke Gopeng,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, kesesakan turut berlaku di PLUS E2 arah selatan, khususnya dari Nilai Utara ke Senawang yang mengalami trafik berat.

Bagi laluan Pantai Timur pula, antara lokasi yang mengalami kesesakan ialah dari Gombak menghala ke Genting Sempah, Lentang ke Bentong serta Sungai Dua ke Karak.

“Buat masa ini, antara lokasi paling perlahan ialah Gombak menghala ke Pantai Timur, manakala Nilai Utara ke Senawang mengalami trafik berat arah selatan.

“Plaza Tol Skudai menghala ke Kulai turut sesak, selain Putra Heights menghala ke Gamuda dan Putra Heights ke Shah Alam yang dilaporkan perlahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, trafik di kawasan Menora masih bergerak lancar setakat tengah hari ini.

Menurutnya, kesesakan mula meningkat sekitar pukul 7 pagi tadi susulan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya sempena cuti Hari Kebangsaan.

“Kalau melihat situasi sekarang, kesesakan dijangka terus meningkat dan berkemungkinan berterusan hingga petang sekiranya jumlah kenderaan terus bertambah,” katanya.

Sehubungan itu, LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan, mendapatkan rehat secukupnya sebelum memandu serta berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) sekiranya berasa letih atau mengantuk.

Katanya, pengguna yang terpaksa berhenti di lorong kecemasan perlu memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan dengan menyalakan lampu kecemasan dan meletakkan segi tiga keselamatan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.

“Sekiranya berlaku kecemasan dan perlu berhenti di lorong kecemasan, nyalakan lampu kecemasan serta letakkan segi tiga keselamatan demi keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau berkata, LLM turut menerima jumlah panggilan yang agak tinggi daripada pengguna jalan raya sejak pagi tadi, terutama berkaitan keadaan trafik dan kesesakan di lebuh raya utama. – UTUSAN

The post Aliran trafik lebuh raya mula sesak teruk tengah hari ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved