Ramai masih ‘malu-malu’ kibar Jalur Gemilang

29 Aug 2026 • 7:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ramai masih ‘malu-malu’ kibar Jalur Gemilang

SEBERANG PERAI – Sambutan Hari Kebangsaan yang bakal diraikan kurang 48 jam lagi dilihat masih hambar apabila kenderaan yang memasang Jalur Gemilang hampir tidak kelihatan di jalan utama termasuk lebuh raya.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Lebuh Raya Utara Selatan dekat Seberang Jaya di sini, petang tadi mendapati hampir keseluruhan kenderaan yang melalui laluan berkenaan tidak memasang atau melekatkan Jalur Gemilang.

Sebahagian kenderaan persendirian dan motosikal bergerak tanpa sebarang hiasan bertemakan kemerdekaan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat semakin luntur atau sekadar semat di hati.

Bagaimanapun, bagi sesetengah pengguna jalan raya, ketiadaan Jalur Gemilang pada kenderaan tidak bermakna mereka tidak mempunyai semangat cintakan negara.

Seorang pengguna, Afiq Ahmad, 45, berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, keutamaan ketika ini adalah memastikan keperluan harian keluarga mencukupi.

“Kalau diberikan Jalur Gemilang secara percuma, kami gantung. Bukan tidak mahu, tetapi sekarang duit yang ada perlu diutamakan untuk membeli barang keperluan.

“Walaupun kereta tidak dihiasi Jalur Gemilang, semangat kemerdekaan tetap ada dalam diri. Kita tetap bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya kepada Kosmo! di sini, tadi.

Seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah, 43, pula berkata, semangat kemerdekaan boleh dizahirkan melalui pelbagai cara termasuk menghormati negara dan undang-undang serta dan menjaga keharmonian masyarakat.

“Tidak semestinya kalau kereta tidak ada bendera bermaksud kita tidak sayang negara. Mungkin ada yang belum sempat beli atau memang tidak mempunyai bendera.

“Semangat Merdeka tetap ada. Kita tetap meraikan dan menghargai keamanan yang dinikmati hari ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Ramai masih ‘malu-malu’ kibar Jalur Gemilang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved