PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan bahawa pegawainya yang maut dalam kemalangan di Sarawak tidak berulang-alik setiap hari seperti yang tular di media sosial.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tanggapan tersebut tidak tepat kerana Allahyarham Azman Mazni sebenarnya menggunakan sistem syif kerja yang lebih fleksibel.
Menurutnya, Allahyarham memilih sistem syif empat hari bertugas diikuti empat hari cuti, sekali gus membolehkannya merancang perjalanan pulang ke kampung secara lebih teratur.
“Kaedah ini juga diamalkan oleh pegawai lain termasuk yang bertugas antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, di mana mereka memanfaatkan tempoh cuti panjang selepas bertugas,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3505735]**
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya telah menerima permohonan pertukaran daripada Allahyarham melalui saluran rasmi, dengan permohonan terkini dikemukakan pada 10 Ogos tahun lalu.
"Permohonan tersebut adalah dalam senarai untuk pertimbangan sewajarnya berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata, penempatan pegawai di jabatan itu dilaksanakan berdasarkan keperluan perkhidmatan yang melibatkan waran perjawatan, kekosongan sedia ada serta kesesuaian gred jawatan.
"Setiap keputusan penempatan dan pertukaran dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan operasi jabatan dan kebajikan pegawai.
"Sepanjang tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025, jabatan ini telah menerima sebanyak 2,860 permohonan pertukaran pegawai pelbagai gred.
"Seramai 1,332 pegawai telah berjaya ditukarkan dengan mengambil kira kebajikan pegawai dan keperluan perkhidmatan," katanya.
Zakaria berkata, pihaknya memberi jaminan akan menyegerakan segala bentuk bantuan kebajikan kepada keluarga Allahyarham.
"Sesungguhnya kehilangan ini amat dirasai. Allahyarham bukan sahaja seorang suami, ayah dan anak yang dikasihi oleh keluarga, malah merupakan sebahagian daripada keluarga besar JIM.
"Saya telah mengarahkan pegawai di Sabah dan Sarawak untuk membantu keluarga berkenaan, termasuk menguruskan hal kebajikan serta urusan berkaitan pencen.
“Kita akan pastikan semua urusan melibatkan keluarga arwah tersebut dipermudahkan dan dipercepatkan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang kakitangan JIM maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang.
Mangsa menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal sejauh 700km dari Papar, Sabah menuju ke rumahnya di Sibu, Sarawak.
Menurut perkongsian menyayat hati sahabatnya menerusi akaun Facebook S Faizzul Syar baru-baru ini, difahamkan arwah bertugas di Depot Imigresen Papar.
Kata pemuda itu, rutin mingguan arwah adalah merentasi perjalanan jauh sama ada ke Miri atau Sibu untuk bertemu isteri, anak-anak serta ibunya.





