Pegawai Imigresen ditahan kes seludup warga asing digantung tugas

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pegawai Imigresen ditahan kes seludup warga asing digantung tugas
Zakaria Shaaban.

PUTRAJAYA – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing telah digantung daripada tugas, sementara siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Pengarah Jambatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

"Pegawai terbabit telah direhatkan (digantung) daripada bertugas, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Zakaria menegaskan bahawa jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku dalam kalangan pegawai, termasuk jika melibatkan anggota sendiri.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan sekiranya didapati bersalah, termasuk mereka yang bersubahat atau membantu sindiket jenayah,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan JIM menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan jabatan itu dalam Op ‘Toyu’ di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada Sabtu.

Zakaria dilaporkan berkata, operasi khas yang bermula jam 12.50 tengah hari itu digerakkan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand dipercayai ‘ejen’ dikenali sebagai ‘Toyu’ yang mengatur kemasukan warga asing, serta seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’.

Turut ditahan lima lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang pegawai kanan JIM yang dipercayai berperanan sebagai ‘pemudah cara’.