
PETALING JAYA – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi sebagai satu kehilangan besar kepada parti dan masyarakat.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, Allahyarham merupakan seorang pemimpin muda yang komited, berjiwa rakyat serta sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan parti dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Allahyarham telah kembali ke rahmatullah dalam kejadian pokok tumbang di Bentong pada tengah hari tadi. Lebih memilukan, tragedi tersebut turut meragut nyawa isteri, adik ipar serta seorang anak Allahyarham.
“Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat besar.
“Bukan sahaja kepada seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan, malah kepada UMNO Bahagian Maran, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang serta Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang,” katanya.
Wan Rosdy berkata, bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mohd. Radzi atau lebih dikenali sebagai Edy Radzi.
Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat itu.
“Marilah kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semua yang terkorban.
“Mengampunkan segala dosa mereka serta menempatkan mereka dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Allahyarham Radzi pemimpin yang komited, berjiwa rakyat – Wan Rosdy appeared first on Kosmo Digital.






