liza09/09/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – Alphaswift Industries Sdn Bhd melabur kira-kira RM500,000 untuk membangunkan sistem penghantaran dron perubatan dan kini bakal meneruskan projek berkenaan di Tawau, Sabah selepas berjaya melaksanakan ujian konsep (PoC) penghantaran sampel darah antara dua hospital di Pahang.
Projek PoC di Pahang itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), membabitkan penerbangan dron antara Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh dan Hospital Bera.
Menurut Alphaswift, projek itu merupakan yang pertama di Malaysia menggunakan dron untuk mengangkut sampel darah antara dua hospital yang turut menguji keupayaan pesawat tanpa pemandu sebagai kaedah penghantaran bahan perubatan.
Kejayaan tersebut menjadi asas kepada langkah syarikat seterusnya untuk menguji teknologi berkenaan di kawasan lain di Malaysia, dengan projek penghantaran dron perubatan seterusnya yang telah disahkan akan dijalankan di Tawau, Sabah.
Alphaswift berkata pembangunan sistem berkenaan mengambil masa kira-kira dua tahun, termasuk usaha memenuhi keperluan kawal selia bagi membolehkan penghantaran darah menggunakan dron dilaksanakan.
Dua tahun bangunkan sistem penghantaran darah menggunakan dron
Ketua Pegawai Eksekutif Alphaswift, Dr Shian Lee berkata, syarikat itu menghabiskan tempoh dua tahun dengan usaha intensif dan berterusan untuk mencapai pematuhan kawal selia sepenuhnya bagi penghantaran darah menggunakan dron.
“Bukti konsep bersama KKM ini menunjukkan bagaimana teknologi dron termaju dan piawaian kawal selia yang ketat boleh bergerak seiring.
“Pencapaian itu menunjukkan penyelesaian penghantaran dron perubatan Alphaswift selamat dan boleh dipercayai, selain mempunyai potensi besar untuk memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.
Menurutnya, pencapaian tersebut turut membolehkan Alphaswift menjadi syarikat pertama yang mencapai pematuhan kawal selia sepenuhnya bagi penghantaran darah menggunakan dron.
Lebih 1,000 penerbangan jadi asas peluasan teknologi
Dalam membangunkan teknologi berkenaan, Alphaswift telah melaksanakan lebih 1,000 penerbangan dron, merekodkan lebih 400 jam masa penerbangan serta menjalankan ujian penghantaran kargo sepanjang lebih 10,000 kilometer.
Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada proses pembangunan dan pengujian keupayaan sistem penghantaran dron syarikat sebelum digunakan dalam konteks logistik penjagaan kesihatan.
Alphaswift berkata teknologi itu berpotensi membantu penghantaran bahan perubatan ke kawasan yang jauh atau sukar diakses, terutama dalam keadaan yang memerlukan kepantasan dan akses yang lebih baik.
Projek seterusnya di Tawau akan membolehkan Alphaswift menguji penggunaan teknologi penghantaran dron perubatan di kawasan lain selepas pelaksanaan PoC di Pahang.
Syarikat itu berkata PoC di Pahang akan menjadi asas kepada penilaian lanjut terhadap aplikasi dron dalam penghantaran bahan perubatan, tertakluk kepada keperluan operasi dan kawal selia. - DagangNews.com



