Centurion Corporation dari Singapura labur RM214.5 juta beli kompleks penginapan pekerja di Pasir Gudang

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 11:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Centurion Corporation dari Singapura labur RM214.5 juta beli kompleks penginapan pekerja di Pasir Gudang Image from: Centurion Corporation dari Singapura labur RM214.5 juta beli kompleks penginapan pekerja di Pasir Gudang liza09/09/2026 - 11:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept – Pasir Gudang terus menjadi tumpuan pelaburan syarikat dari Singapura apabila Centurion Corporation Ltd membelanjakan RM214.5 juta untuk membeli sebuah kompleks penginapan pekerja di kawasan perindustrian berkenaan.

 

Pengambilalihan itu mencerminkan minat Centurion untuk memperluas portfolio penginapan pekerja di Johor, susulan peningkatan aktiviti pembuatan dan perindustrian yang mendorong permintaan terhadap kemudahan penginapan pekerja yang mematuhi keperluan ditetapkan.

 

Bangunan tersebut terletak di atas dua bidang tanah pajakan selama 60 tahun yang akan tamat pada 31 Mei 2069.

 

Ia merangkuminit apartmen yang ditempatkan dalam lapan blok lima tingkat dengan keluasan binaan 749,358 kaki persegi di atas tapak seluas 9.73 ekar.

 

Kompleks berkenaan mempunyai jumlah kapasiti diluluskan sebanyak 7,974 katil, sekali gus memberikan Centurion tambahan kapasiti yang besar dalam pasaran penginapan pekerja di Malaysia, lapor The Edge Singapura.

 

Salah satu bidang tanah itu sudah beroperasi dan disewa oleh majikan yang mempunyai operasi di kawasan perindustrian sekitar, termasuk syarikat multinasional dalam sektor makanan, bahan kimia dan logam, selain pengendali logistik serta penyedia perkhidmatan.

 

Sementara itu, pembangunan di bidang tanah kedua baru sahaja siap dan akan disewakan secara berperingkat selepas proses pengambilalihan selesai.

 

Faktor pemilihan Pasir Gudang 

Menurut Centurion, kedudukan aset itu berhampiran kawasan perindustrian Pasir Gudang, yang merupakan kawasan industri dan pelabuhan yang telah lama berkembang, menjadi antara faktor penting bagi pembelian tersebut.

 

Aset itu juga terletak dalam lingkungan lima kilometer dari koridor industri berat Tanjung Langsat yang sedang berkembang, sekali gus memberikan akses kepada kumpulan pekerja daripada pelbagai sektor perindustrian di kawasan berkenaan.

 

Perkembangan sektor pembuatan di Johor turut meningkatkan keperluan terhadap penginapan pekerja yang sesuai, terutama apabila lebih banyak syarikat menubuhkan atau memperluas operasi mereka di negeri itu.

 

Keadaan tersebut membuka peluang kepada Centurion untuk memanfaatkan pertumbuhan permintaan penginapan pekerja di sekitar Pasir Gudang dan kawasan perindustrian berdekatan.

 

Kapasiti Malaysia meningkat 20%

Pembelian itu akan meningkatkan kapasiti penginapan pekerja Centurion di Malaysia sebanyak 20% kepada 43,980 katil, merangkumi 14 kemudahan penginapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Centurion, Kong Chee Min menyifatkan pengambilalihan itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh portfolio kumpulan di Malaysia, selain meneruskan komitmen pelaburannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Beliau berkata, peningkatan jumlah pengeluar yang menubuhkan operasi di Johor dijangka terus menyokong permintaan terhadap penginapan pekerja yang mematuhi keperluan ditetapkan.

 

Katanya, aset berkenaan melengkapi portfolio sedia ada Centurion dan meletakkan kumpulan pada kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved