
KUALA LUMPUR - Perbuatan mempertahankan individu yang terpalit dengan rasuah atas alasan jasa dan sumbangan lampau mereka sama sekali tidak selari dengan ajaran Islam.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jasa atau legasi ditinggalkan walaupun berusia ratusan tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk berkompromi dengan amalan rasuah, apatah lagi membiarkan harta rakyat dan kekayaan negara diselewengkan.
Tegas beliau, mereka yang menentang rasuah perlu tampil bersuara dengan lebih lantang bagi memastikan pendirian terhadap jenayah itu tidak dipandang ringan.
“Bagi kita yang membenci dan menentang rasuah, suara kita perlu lebih tegas.
“Berikan mesej yang jelas bahawa tempat bagi mereka yang melakukan rasuah adalah di penjara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar turut berkongsi petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan Madani kali ke-14 yang menyentuh mengenai konsep permisif, iaitu sikap terlalu bertolak ansur sehingga kesalahan dan perbuatan mungkar seolah-olah boleh diterima sebagai perkara biasa.
Jelas Perdana Menteri, istilah permisif pernah digunakan tokoh Indonesia, Muhammad Natsir, bagi menggambarkan budaya toleransi melampau terhadap perlakuan salah, termasuk perbuatan merosakkan harta benda, mencuri dan melakukan rasuah.
Menurutnya, sikap sedemikian menyebabkan masyarakat semakin hilang kepekaan terhadap kesalahan sehingga perbuatan rasuah, walaupun melibatkan jumlah yang besar, dianggap sesuatu yang boleh diterima.
“Semua perkara dianggap tidak mengapa. Rasuah sedikit, tidak mengapa. Mencuri sedikit, tidak mengapa. Tetapi berapa banyak yang dikatakan sedikit? Berbilion ringgit pun dianggap tidak mengapa.
“Inilah sikap bertolak ansur terhadap kemungkaran yang akhirnya menghancurkan kita,” katanya.
Terdahulu, Anwar turut berkongsi hadis Rasulullah SAW yang menekankan prinsip keadilan dalam pelaksanaan hukuman tanpa mengira kedudukan, pangkat atau status seseorang.
Beliau memetik hadis riwayat al-Bukhari (3475) daripada Aisyah RA yang menjelaskan bahawa antara punca kehancuran umat terdahulu ialah apabila golongan berkedudukan tinggi terlepas daripada hukuman, sedangkan golongan lemah dikenakan tindakan atas kesalahan sama.
“Sesungguhnya, perkara yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang berkedudukan melakukan kesalahan mencuri, mereka dibiarkan begitu sahaja. Namun, apabila orang yang lemah melakukan kesalahan sama, hukuman yang ditetapkan ke atasnya dilaksanakan,” katanya.
Hadis berkenaan mempertegaskan bahawa keadilan dalam pelaksanaan hukuman tidak boleh dipengaruhi kedudukan atau darjat seseorang, sebaliknya perlu ditegakkan tanpa pilih kasih.
Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut mana-mana individu secara khusus dalam hantaran berkenaan. - Getaran, 11 November 2026





