Selesai kes, Aman Palestin fokus misi, bina keyakinan rakyat

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 8:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Selesai kes, Aman Palestin fokus misi, bina keyakinan rakyat

PETALING JAYA –  Aman Palestin Berhad kembali memberi tumpuan kepada misi kemanusiaan serta usaha memulihkan keyakinan masyarakat selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucutkan hak wang dan aset miliknya.

Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, keputusan tersebut memberi ruang kepada pertubuhan itu untuk meneruskan legasi perjuangan membantu rakyat Palestin yang telah dibina sejak 22 tahun lalu.

Beliau berkata, Aman Palestin sejak awal memilih untuk membersihkan nama menerusi proses perundangan yang telus dan bersyukur apabila keputusan hari ini memihak kepada pertubuhan berkenaan.

Menurutnya, keputusan tersebut diharap dapat mengembalikan persepsi positif serta keyakinan masyarakat terhadap Aman Palestin.

“Saya berasa terharu kerana harapan untuk meneruskan legasi perjuangan membantu rakyat Palestin dapat diteruskan dengan sokongan yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sukar yang berlaku pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdullah Zaik turut mengajak masyarakat untuk melihat semula hasil serta pembangunan yang telah dijayakan oleh Aman Palestin sejak pertubuhan itu ditubuhkan 22 tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM turut menjalankan tanggungjawab dengan baik sepanjang siasatan terhadap kes berkenaan.

Katanya, Aman Palestin juga memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

“Kami berharap tiada pihak mengambil kesempatan untuk melontarkan persepsi negatif atau memutarbelitkan cerita,” tegasnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan SPRM untuk melucutkan hak wang berjumlah kira-kira RM21 juta dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin selain AS$139,650.68 dan satu kilogram jongkong emas yang sebelum ini dibekukan.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar membuat keputusan itu selepas meneliti afidavit serta hujahan kedua-dua pihak.

Mahkamah mendapati SPRM gagal membuktikan wang dalam akaun-akaun bank serta pembelian jongkong emas berkenaan merupakan hasil perlakuan salah atau aktiviti haram.

Sementara itu, Abdullah Zaik turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam bela yang diketuai Datuk Zamani Ibrahim, Datuk Hisyam Teh Pok Teik dan Datuk M. Athimulan atas usaha mereka sepanjang prosiding kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Selesai kes, Aman Palestin fokus misi, bina keyakinan rakyat appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved