Amanah cadang hukuman sebat pemandu mabuk sebabkan kematian

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 11:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MUHAMMAD FAIZ

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan agar hukuman sebat dikenakan ke atas pemandu mabuk menyebabkan kematian, bagi mencerminkan keseriusan jenayah berkenaan setaraf dengan kesalahan berat lain.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, walaupun kerajaan telah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan meningkatkan tempoh penjara sehingga 20 tahun, kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dilihat masih berleluasa.

Menurutnya, peruntukan di bawah Seksyen 44(1) akta itu yang menetapkan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun bagi kesalahan pertama serta 15 hingga 20 tahun bagi kesalahan kedua, masih belum memadai sebagai langkah pencegahan yang efektif.

“Hukuman sebat biasanya dikenakan ke atas kesalahan jenayah serius seperti rogol, rompak dan dadah. Sudah sampai masanya kerajaan menganggap kesalahan kematian akibat pemandu mabuk juga sebagai satu kesalahan jenayah serius,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Cadangan tersebut dikemukakan susulan insiden kemalangan maut yang menimpa Allahyarham Amirul Hafiz Omar semalam, yang disyaki dilanggar oleh seorang pemandu mabuk.

Selain itu, Amanah turut menggesa kerajaan mempertimbangkan mekanisme pampasan segera yang setimpal, sama ada dibayar oleh pesalah atau melalui keluarga mangsa, selain tuntutan insurans sedia ada bagi meringankan beban ditanggung.

Parti itu juga mencadangkan pindaan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan pembatalan lesen memandu dilakukan serta-merta ke atas individu yang ditahan di bawah pengaruh alkohol.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz menegaskan keperluan kawalan lebih ketat terhadap jualan minuman beralkohol, termasuk melibatkan kategori pembeli dan premis jualan.

Beliau mencadangkan agar larangan menjual atau menghidangkan minuman beralkohol di tempat terbuka dikuatkuasakan, selain meletakkan tanggungjawab kepada premis untuk memastikan pelanggan tidak memandu sendiri selepas mengambil alkohol.

“Premis jualan boleh dikenakan satu kesalahan sekiranya menjual atau menyediakan minuman beralkohol kepada mereka yang memandu sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, Amanah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz dan menyifatkan kehilangan nyawa akibat kecuaian itu sebagai satu tragedi yang amat membebankan keluarga mangsa.