Amanah desak MB bubar DUN Negeri Sembilan

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 6:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Amanah desak MB bubar DUN Negeri Sembilan
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan susulan kemelut yang terus meruncing di negeri itu.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia memandangkan pertembungan antara eksekutif dan istana adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Menurut beliau, Amanah percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh UMNO boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

"Amanah berpendirian bahawa UMNO gagal untuk menghormati kedudukan institusi diraja Melayu apabila mengambil langkah-langkah menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seolah-olah satu tindakan coup d'etat.

"Tindakan-tindakan diambil UMNO itu jelas bertentangan dengan kehendak rakyat Negeri Sembilan, yang mana Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu tidak langsung bertujuan untuk mengganggu gugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhammad Faiz sehubungan itu berkata, Amanah berpendirian untuk tidak mencampuri kemelut kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memandangkan urusan tersebut harus diselesaikan mengikut lunas undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan.

Selain itu, beliau berpandangan, PRN Negeri Sembilan diadakan secara mengejut adalah berpunca daripada desakan pihak-pihak tertentu mahu menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada takhta susulan pergolakan politik semasa di Negeri Sembilan.

"Hal ini diperkukuhkan dengan proklamasi yang telah ditandatangani Menteri Besar Negeri sejurus selepas PRN Negeri Sembilan berlaku iaitu pada 3 Ogos 2026.

"Situasi politik semasa bertambah meruncing apabila Menteri Besar menolak titah tersebut secara terbuka," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved