
KUALA LUMPUR - Langkah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim nampaknya semakin sumbang dalam menangani krisis pentabiran antara kerajaan negeri dan pihak istana.
Terbaru, beliau ‘menolak’ perintah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang membatalkan pelantikan beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas mereka didapati melanggar sumpah jawatan.
Pertikaian itu kini bukan lagi sekadar mengenai kedudukan 10 Exco, tetapi ia turut menimbulkan persoalan mengenai siapa yang menjadi rujukan undang-undang Menteri Besar dalam kemelut berkenaan.
Sumber memberitahu Getaran, Ismail tidak lagi berhubung dengan Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung pertikaian itu, sebaliknya mendapatkan nasihat daripada peguamnya sendiri.
Sumber turut mendakwa, Ismail tidak lagi berhubung dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan kedua-dua pegawai berkenaan juga berpandangan, Exco tidak lagi mempunyai kuasa untuk bertindak ke atas perkara yang dipertikaikan.
Mereka bagaimanapun tidak membuat kenyataan terbuka kerana terikat dengan kedudukan sebagai penjawat awam.
Realitinya, pendirian Pejabat SUK dalam kemelut itu sudah pun jelas, menerusi penolakan untuk mewartakan proklamasi 19 April selepas mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC).
AGC memutuskan proklamasi itu tidak sah kerana tidak memenuhi keperluan mandatori di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
AGC turut menegaskan, Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa untuk menggugurkan atau mengisytiharkan kekosongan jawatan Yang Dipertuan Besar.
Atas faktor itu, adalah amat menghairankan dan boleh dianggap sebagai ‘luar biasa’ apabila Ismail bertindak mempertahankan kesahihan Exco yang pelantikannya telah dibatalkan Tuanku Muhriz.
Perkembangan terbabit mewujudkan percanggahan yang sukar dielakkan antara pendirian Menteri Besar dengan jentera pentadbiran negeri.
Pendirian Ismail yang kerap berubah-ubah mencetuskan tanda tanya dan dilihat ramai sebagai satu keanehan.
Apa agaknya yang tersirat di sebalik tindakan beliau itu? Apakah faktor beliau bertindak sedemikian rupa?
Pada 9 September, beliau mendakwa dipaksa menandatangani proklamasi berkaitan Tuanku Muhriz, malah menyifatkan proklamasi itu sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Ismail turut membuat laporan polis dan menyatakan kesetiaan kepada Tuanku Muhriz.
Namun, ‘kesetiaan’ yang dicanangnya sekelip mata goyah apabila pada 15 September lalu, beliau mengesahkan barisan Exco sebulat suara menyokong proklamasi berkenaan dalam mesyuarat mereka.
Katanya, SUK juga telah diarahkan meneruskan proses pewartaan.
Sehari kemudian, AGC tampil dengan kenyataan yang menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan itu.
Ia membuatkan SUK enggan melaksanakan arahan diberi Ismail dan berpegang kepada penentuan yang diputuskan AGC.
Hari ini, Ismail sekali lagi bersikap aneh apabila bertindak mempertahankan pelantikan Exco yang telah dibatalkan oleh Tuanku Muhriz, sekali gus ‘melanggar’ titah baginda.
Kemelut yang berlarutan ini turut dilihat memberi tekanan politik kepada UMNO.
Perbincangan di media sosial semakin tertumpu kepada pendirian parti tersebut dalam pertikaian dengan institusi diraja Negeri Sembilan.
Sumber memberitahu Getaran, Tuanku Muhriz menerima sepenuh sokongan daripada penjawat awam negeri dan baginda juga dilihat mempunyai sokongan awam yang kuat di negeri itu.
Perkembangan berkenaan menyebabkan UMNO kini bagaikan berada di atas bara api, apatah lagi parti itu selama ini dicanang sebagai pembela institusi Raja-Raja Melayu.
Kini, pertikaian yang bermula dalam pentadbiran negeri telah berkembang menjadi perdebatan mengenai hubungan UMNO dengan institusi diraja dan persoalannya juga semakin mendalam.
Adakah krisis ini akan terus tertumpu kepada pengisian jawatan Exco atau akhirnya membawa kepada pembubaran DUN dan pengembalian mandat kepada rakyat?
Buat masa ini, satu perkara semakin jelas; krisis yang berlaku bukan lagi berkisar mengenai barisan Exco.
Ia telah meliputi perihal lebih luas, antaranya siapa yang mempunyai kuasa, siapa pula menjadi rujukan untuk nasihat perundangan dan sejauh mana pentadbiran negeri masih bergerak dalam satu landasan. - Getaran, 21 September 2026






