
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di ibu negara petang ini.
Turut dijangka menghadap Tuanku Muhriz ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim di ibu negara.
Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (MMKN) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun hari ini, Ismail mengesahkan kesemua 10 ahli MMKN Negeri Sembilan itu masih sah untuk terus menjalankan tugas dan tiada keperluan mengemukakan senarai pelantikan yang baharu.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan tafsiran perundangan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berkaitan kuasa eksekutif dan kedudukan Exco. – UTUSAN
The post PM, TPM dan MB Negeri Sembilan dijangka menghadap Tuanku Muhriz petang ini appeared first on Utusan Malaysia.





