JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menegaskan tiada sebarang rundingan politik sedang atau akan dijalankan bersama parti Muda, berbeza daripada kerjasama sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Zain berkata, parti itu akan membawa isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa ke dalam perbincangan Pakatan Harapan bagi mengambil semula kerusi yang sebelum ini dipinjamkan kepada Muda atas semangat kerjasama dan kesepakatan gabungan.
"Keputusan ini diambil sebagai tanda protes Amanah terhadap tindakan Muda yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Amanah menegaskan tindakan unilateral tersebut jelas bertentangan dengan semangat kestabilan politik negara.
“Sebarang kerjasama politik mestilah berteraskan kesetiaan kepada mandat rakyat serta komitmen terhadap kestabilan kerajaan. Tindakan menarik sokongan secara unilateral adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keyakinan rakyat,” katanya.
Ujar Zuhan, kerusi DUN Puteri Wangsa asalnya diperuntukkan atas dasar kepercayaan dan strategi bersama bagi memperkukuh blok reformasi.
Namun, perkembangan politik semasa memerlukan penilaian semula bagi memastikan konsistensi dan kejelasan pendirian gabungan.
"Amanah Johor kekal komited bersama Pakatan Harapan dalam memperkukuh Kerajaan Perpaduan dan memastikan setiap kerusi yang ditandingi mencerminkan kestabilan, kesepaduan serta prinsip perjuangan yang jelas kepada rakyat Johor," katanya.
Kerusi DUN Puteri Wangsa (N41) kini disandang oleh Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz.
Beliau memenangi kerusi tersebut pada PRN Johor 2022 dalam saingan enam penjuru dengan memperoleh 22,884 undi.
