
BUKIT MERTAJAM : Parti Amanah Negara (Amanah) disifatkan sebagai parti paling terkesan akibat naratif politik berbaur perkauman yang dimainkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semalam.
Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, hal ini demikian kerana, Amanah merupakan parti politik yang majoriti ahlinya adalah Melayu dan membawa mesej Islam dalam Pakatan Harapan (PH).
“Jadi, sudah pasti apabila kita lihat berlakunya gelombang politik perkauman terutamanya yang terkait dengan Melayu itu, yang paling terkesan adalah Amanah.
“Maka, sebab itulah kita tak dapat pertahankan kerusi (Dewan Undangan Negeri atau DUN Klawang) di Negeri Sembilan walaupun kita dapat pertahankan kerusi kita di Johor (DUN Simpang Jeram) sebelum ini.
“Tetapi, saya fikir bahawa, walaupun Amanah terkesan, ya, Amanah akan terus bawa mesej untuk kita kukuhkan Pakatan Harapan dan untuk kita tingkatkan lagi usaha kita selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang di sini, hari ini.
Hadir sama pada konvensyen itu ialah Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Setiausaha Agung Amanah merangkap Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil serta Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Goh Choon Aik.
Mengulas lanjut, Adly mengakui bahawa politik perkauman sememangnya boleh memberi kesan kepada undian, namun, percaya kaedah itu tidak boleh bertahan lama kerana rakyat akhirnya akan menilai semula apa yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk kebaikan mereka.
“Sebab itu bagi kita, Pakatan Harapan, politik nilai itu tetap menjadi teras. Pada masa yang sama, kita juga akan melihat banyak lagi perkara lain melalui ‘post-mortem’ (bedah siasat) PRN yang lalu untuk kita tambah baik,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Adly berkata, Amanah mungkin mengubah strategi untuk meraih undi rakyat pada PRN Melaka yang dijangka berlangsung dalam tahun ini juga.
Beliau yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Melaka berkata, bagaimanapun, strategi atau pendekatan itu akan dibincang dalam mesyuarat PH terlebih dahulu sebelum ia diputuskan kelak.
“Sebahagian pihak merasakan bahawa kita terlalu agresif (ketika berkempen semasa PRN) manakala sebahagian lagi mengatakan bahawa kita terlalu defensif, ya.
“Tetapi, bagi kita, apabila kita bawa politik nilai, memang kita mahu mengajak rakyat Malaysia memastikan bahawa pilihan mereka adalah berdasarkan kepada nilai-nilai, sama ada integriti, keupayaan kita (kerajaan PH) menguruskan negeri dan negara serta berdasarkan kepada fakta-fakta ekonomi,” katanya.-UTUSAN
The post Amanah paling terkesan akibat politik perkauman – Adly Zahari appeared first on Utusan Malaysia.






