
PETALING JAYA: Politik identiti dan sentimen sempit didakwa kembali dimainkan untuk memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan seperti yang berlaku di beberapa negara lain termasuk Eropah.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamed Sabu berkata, permainan politik sedemikian timbul berpunca daripada kemunculan fahaman kanan yang melampau.
Katanya, di Malaysia, naratif sama sering diulang dengan menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu, khususnya dengan melabel parti-parti tertentu sebagai ancaman kepada Islam dan Melayu.
“Persepsi ini disebarkan secara berterusan sehingga sebahagiannya diterima tanpa penelitian. Sejarah telah menunjukkan bahawa gelombang seperti ini pernah berlaku pada tahun 1969, dan juga dalam peristiwa Operasi Lalang pada tahun 1987.
“Hari ini, kita menyaksikan ia kembali disemai oleh parti-parti politik yang besar. Saya yakin, gelombang ini tidak akan bertahan lama. Rakyat Malaysia semakin matang. Pada akhirnya, rakyat akan kembali menilai berdasarkan prestasi, keupayaan mentadbir, dan integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong Amanah agar terus kental menghadapi cabaran ini.
Pada masa yang sama, tidak terjebak dengan politik kebencian, sebaliknya teruskan bekerja, berkhidmat, dan mendekati rakyat dengan pendekatan yang sederhana dan berhemah.
“Insya-Allah, akan tiba masanya rakyat menolak fahaman perkauman yang sempit dan memilih politik yang lebih matang serta inklusif.
“Kita kekal yakin dengan perjuangan kita iaitu menegakkan prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin. Alhamdulillah, semakin ramai rakyat, termasuk dalam kalangan bukan Islam, mula memahami bahawa Islam yang kita bawa adalah Islam yang adil, sederhana dan membawa rahmat kepada semua,” katanya. – UTUSAN
The post Politik identiti, sentimen sempit kembali dimainkan appeared first on Utusan Malaysia.






