
PETALING JAYA: Semua pengundi Melayu supaya tidak membuat pilihan berasaskan ketakutan atau sentimen perkauman, sebaliknya menilai parti dan calon berdasarkan fakta, integriti serta amanah.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya membuat penilaian secara rasional sebelum menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
Beliau berkata, sentimen anti-DAP yang masih kuat dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu dipercayai terbentuk hasil naratif politik yang dimainkan sejak sekian lama.
“Saya suka Pakatan Harapan (PH). Saya suka Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun). Tapi sebab ada DAP, saya tak boleh undi PH.
“Ayat macam ini saya dengar berkali-kali daripada penganalisis yang membuat cerapan di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, pelbagai kebimbangan yang sering dikaitkan dengan DAP termasuk dakwaan hak orang Melayu dan kedudukan Islam terjejas tidak berlaku seperti digambarkan.
Katanya, naratif ketakutan itu terus diulang sehingga dipercayai walaupun tidak disokong bukti yang jelas.
“Puas saya fikir, mengapa sentimen anti-DAP masih begitu kuat. Adakah masjid ditutup? Tidak. Adakah azan diharamkan? Tidak.
“Adakah hak orang Melayu dalam Perlembagaan dihapuskan? Tidak. Peruntukan untuk syiar Islam juga bukan sahaja tidak dipotong, malah bertambah.
“Jadi, persoalannya, apakah sebenarnya yang begitu dibimbangi orang Melayu terhadap DAP?” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan sikap pihak tertentu yang didakwanya menolak fakta apabila Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan isu berkaitan salah tadbir urus institusi berkenaan.
“Sekarang ini fitnah dan penipuan terus dipercayai. Fakta pula ditolak. Sampai bila kita mahu mengundi kerana takut, bukan kerana kebenaran?” katanya.
Beliau berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan memilih pemimpin yang bersih, amanah dan berintegriti, bukannya pihak yang paling berkesan menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.
“Politik ketakutan tidak akan memajukan orang Melayu. Yang akan memajukan orang Melayu ialah keberanian untuk memilih berdasarkan fakta, integriti dan amanah, bukan propaganda yang diulang-ulang sehingga dianggap benar,” katanya.-UTUSAN
The post Sentimen anti DAP naratif lama pihak lawan appeared first on Utusan Malaysia.






