Amanah saham perlu dipelihara, jangan khianati kepercayaan rakyat

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 4:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Amanah saham perlu dipelihara, jangan khianati kepercayaan rakyat

KUALA LUMPUR: Amanah saham yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan ekonomi Bumiputera perlu terus dipelihara dan diuruskan secara berintegriti supaya kepercayaan rakyat terhadap institusi pelaburan negara tidak dikhianati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan antara usaha pemimpin terdahulu bagi memastikan masyarakat Melayu dan Bumiputera tidak tersisih daripada pembangunan ekonomi negara.

Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera, malah merangkul penyertaan seluruh rakyat dalam usaha membina kesejahteraan dan perpaduan negara.

“Pemimpin-pemimpin dahulu mengasaskan PNB, kemudian ASN dan seterusnya Amanah Saham Nasional Berhad supaya kebajikan Bumiputera dipertahankan, supaya rakyat orang Melayu dan Bumiputera umumnya merasakan mereka tidak tersisih.

“Pada masa sama, kita mahu menjamin kesejahteraan, ketenteraman dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat semua kaum,” katanya ketika berucap pada sambutan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Stadium Merdeka, di sini, hari ini. 

Anwar berkata, institusi yang menguruskan wang simpanan dan pelaburan rakyat perlu dipelihara dengan memastikan setiap amanah dilaksanakan secara bertanggungjawab serta bebas daripada penyelewengan.

Katanya, prinsip tatakelola perlu menjadi tunjang kekuatan utama kerajaan, termasuk dalam pengurusan badan penguatkuasaan, agensi dan syarikat milik kerajaan.

“Kerajaan Madani berusaha meletakkan prinsip tatakelola sebagai paksi kekuatan utama. Namun, kita tentunya harus terus berjuang. Badan-badan penguatkuasaan serta individu yang diamanahkan menjaga syarikat dan agensi kerajaan perlu memastikan tanggungjawab itu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Apa gunanya kita menabung jika pihak yang menguruskannya mengkhianati amanah? Apa ertinya Minggu Saham jika wang yang dikumpulkan itu akhirnya diamanahkan kepada individu yang tidak bertanggungjawab?” soalnya.

Katanya, isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Lembaga Tabung Haji perlu dijadikan peringatan mengenai kesan buruk apabila institusi yang diwujudkan untuk kepentingan rakyat diuruskan secara tidak bertanggungjawab.

“Kerja kita itu harus membongkar supaya jangan lagi amanah ini dikhianati. 1MDB puluhan bilion hilang. Wang itu patut kembali ke sekolah, ke universiti, ke klinik, ke rakyat. Tabung Haji puluh bilion hilang. Wang siapa? 

“Wang petani, nelayan, orang kampung, orang yang berniat menyimpan, menabung untuk menunaikan fardu haji pun dikhianati. Felda dirangka oleh tokoh-tokoh Almarhum Tun Abdul Razak untuk apa? 

“Untuk menjaga kepentingan Bumiputera, orang miskin tidak punya tanah dibawa untuk memunggar hutan belantara supaya dapat rezeki yang halal dan memiliki tanah dan membangunkan keluarga dan negara,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar berkata, budaya menabung dan kecelikan kewangan perlu dipupuk sejak kecil bagi membentuk generasi yang lebih berhemat dalam menguruskan pendapatan serta perbelanjaan.

Katanya, golongan muda perlu dididik memahami nilai wang dan kepentingan simpanan supaya tidak terperangkap dalam budaya berbelanja mengikut kehendak sehingga dibebani hutang.

“Kecelikan kewangan perlu dipupuk sejak awal supaya apabila dewasa dan diberikan amanah, mereka tidak menyalahgunakan atau merompak kekayaan yang diamanahkan kepada mereka.

“Kita perlu memahami nilai simpanan dan nilai wang sejak awal untuk menyelamatkan diri serta keluarga, selain belajar menjadi individu yang cermat dan berhemat.

“Kecil-kecil tidak menabung, kecil-kecil tidak diajar untuk cermat, bila dewasa dia boros. Sebab itu amalan dan budaya menabung sejak muda sangat penting dan saya hargai ikhtiar PNB dalam menjayakan program ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui usaha membangunkan negara dan mengangkat martabat rakyat.

Katanya, institusi amanah saham yang diwujudkan selepas kemerdekaan merupakan antara mekanisme penting bagi memastikan rakyat, khususnya Bumiputera, mendapat peluang membina kedudukan ekonomi yang lebih baik. – UTUSAN

The post Amanah saham perlu dipelihara, jangan khianati kepercayaan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved