
BEKENU: Kemenangan tanpa bertanding di Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu disifatkan Nur Syafawani Tahamat, 34, sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas demi membela kepentingan rakyat.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, kepercayaan diberikan parti dan jentera di Bekenu serta Lambir akan menjadi dorongan untuk memastikan keperluan masyarakat setempat terus diberi perhatian.
Menurutnya, antara keutamaan beliau adalah memperkukuh kerjasama dengan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) bagi mengenal pasti keperluan serta permasalahan penduduk.
“Saya melihat kemenangan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada rakyat Bekenu,” katanya kepada pemberita.
Nur Syafawani menang tanpa bertanding selepas Nordin Mus tidak mengemukakan pencalonan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang perlu diterima dengan baik, sambil menegaskan GPS sentiasa menghormati proses demokrasi.
Beliau berkata, proses demokrasi merupakan asas penting dalam menentukan kepimpinan yang mendapat kepercayaan rakyat.
Katanya, kemunculan calon baharu seperti Nur Syafawani diharap dapat membawa pembaharuan kepada landskap politik kawasan berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara wakil rakyat, Ahli Parlimen dan ADUN bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Perkara ini bukan mudah, tetapi semuanya bergantung kepada sokongan padu rakyat serta kerjasama semua pihak,” katanya.
The post Kemenangan tanpa bertanding satu amanah appeared first on Utusan Malaysia.






