Kerajaan teliti intervensi terhadap pekerja kilang Panasonic

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 6:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pekerja Panasonic

SHAH ALAM: Kerajaan meneliti pelan intervensi bagi membantu 400 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) yang dijangka terjejas berikutan penutupan operasinya bermula September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara yang boleh dilakukan termasuk memberi latihan dan menyalurkan semula pekerja-pekerja terlibat ke kilang pembuatan lain.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja Selangor.

“Kita akan melihat pelan intervensi yang boleh dilakukan nanti terhadap lebih 400 pekerja itu sama ada mereka boleh disalurkan ke kilang pembuatan lain termasuk usaha memberikan latihan kepada mereka.

“Kalau mereka perlukan latihan keusahawanan, insya-Allah kita akan lakukan intervensi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Baucar Jom Shopping sempena Hari Pahlawan Selangor 2026 di sini, hari ini.

Terdahulu Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic) dilapor akan menutup operasi pengeluaran TV PAVCKM di sini yang dijangka memberi kesan kepada 400 pekerjanya pada akhir Mac tahun depan.

Penutupan tersebut merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula operasi pengeluaran dan memperkukuh daya saingnya yang turut melibatkan pemberhentian pengeluaran audio Technics-branded Hi-Fi pada akhir Februari tahun depan.

Katanya, bagaimanapun pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (EIWU) bagi memastikan pekerja terjejas diberikan sokongan termasuk bantuan pertukaran penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya.

Jelas Amirudin, beliau juga mengalu-alukan pekerja berkenaan supaya hadir ke program Job Fair yang diadakan oleh kerajaan negeri untuk melihat tawaran-tawaran pekerjaan bersesuaian.

“Di sana ada tawaran dan kita alu-alukan, tetapi nanti kita juga akan tengok kepada keperluan-keperluan mereka kerana ada sebahagiannya sudah pun lanjut usia. Jadi mungkin hendak terlibat dalam bidang lain (pula).

“Saya akan hubungi pihak Jabatan Tenaga Kerja supaya kelompok itu walaupun kilang ditutup, tak pasti ada gratuiti ataupun tidak, tetapi ikut pada kesesuaianlah, Perkeso ada maklumat terperinci,” ujarnya.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Baucar Jom Shopping sempena Hari Pahlawan kepada lebih 8,300 veteran angkatan tentera dan polis yang tidak berpencen.

Amirudin memaklumkan pemberian baucar sebanyak RM200 itu akan dirancang untuk diperluaskan kepada semua veteran yang berpencen sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. – UTUSAN

The post Kerajaan teliti intervensi terhadap pekerja kilang Panasonic appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved