
Amaran Hujan Berterusan Di 7 Negeri, 2 WP
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan yang diramal berlaku di beberapa kawasan hingga 18 Disember (esok) ini.
Amaran hujan berterusan (tahap bahaya)
Menurut METMalaysia, hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Pahang membabitkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.
Amaran hujan berterusan (tahap buruk)
Selain itu, hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Johor.
“Di Terengganu, daerah terlibat adalah Dungun dan Kemaman, manakala Pahang membabitkan Jerantut, Maran dan Bera dan Johor pula membabitkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi,” maklum METMalaysia.
Amaran hujan berterusan (tahap waspada)
Tambah METMalaysia, hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Johor, selain keseluruhan Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.
“Di Terengganu, daerah terlibat adalah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang. Manakala, Pahang membabitkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh dan Johor membabitkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Orang ramai diminta waspada
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
BACA: Tanah 169 Ekar Di Kinrara Bukan Lagi Hutan Simpanan Kekal
Sumber: METMalaysia
The post Amaran Hujan Berterusan Di 7 Negeri, 2 WP appeared first on Siakap Keli.

