
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) berkuat kuasa sehingga 11 November ini melibatkan Pantai Timur di Semenanjung serta timur Sabah.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd. Anip berkata, analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara pada esok hingga 11 November dan ia berpotensi membawa hujan lebat berterusan.
“Bagi kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli. Seterusnya Terengganu, manakala Pahang meliputi Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di timur Sabah pula berkuat kuasa esok sehingga 11 November dengan kawasan terlibat ialah Kudat, Sandakan (Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan dan Kinabatangan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.
Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Amaran hujan berterusan di Pantai Timur, Sabah sehingga Rabu appeared first on Kosmo Online.






