
Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Di Kebanyakan Negeri Hingga 6 Petang
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang melibatkan 12 negeri sehingga jam 6 petang.
Menerusi muat naik di laman Facebook, amaran hujan lebat ini dikeluarkan bagi seluruh negeri-negeri di utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Keadaan di Selangor menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor sahaja.
Amaran turut dikeluarkan bagi kebanyakan kawasan di Kelantan melibatkan daerah Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah. Selain itu, daerah Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang turut tersenarai dalam kawasan yang bakal mengalami cuaca buruk.
Di Terengganu, amaran turut melibatkan daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Manakala kawasan di utara negeri Pahang dijangka alami hujan lebat. Ia melibatkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Maran dan Kuantan.
Turun ke Negeri Sembilan, empat daerah turut terlibat iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin. Di Johor, cuaca buruk diramal membadai daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Mersing.
Keadaan di Sarawak menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Manakala di Sabah, cuaca buruk bakal melanda daerah Pedalaman (Sipitang dan Beaufort) dan Pantai Barat (Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum MetMalaysia.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran permulaan fasa Monsun Timur Laut (MTL) bermula Selasa dan dijangka berterusan hingga Mac tahun hadapan.
The post Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Di Kebanyakan Negeri Hingga 6 Petang appeared first on Siakap Keli.

