KOTA BHARU – Kelantan mengakui peningkatan kes pembunuhan di negeri itu ketika ini berada pada tahap membimbangkan walaupun kadar jenayah indeks keseluruhan masih rendah berbanding negeri lain.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, peningkatan kes tersebut amat mendukacitakan apabila jumlah kes dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini meningkat berkali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat polis, hanya satu kes direkodkan pada tahun 2025 bagi tempoh sama, namun meningkat kepada empat atau lima kes pada tahun ini.
"Kerajaan sangat mengambil berat dalam hal ini dan kita rasa ia amat menyedihkan.
"Kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta agensi penguat kuasa dalam usaha membendung jenayah daripada terus meningkat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung peningkatan kes pembunuhan di negeri ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, pendekatan pencegahan bukan sahaja melibatkan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya turut memberi penekanan kepada aspek kesedaran masyarakat dan penghayatan agama.
Ujarnya, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan berusaha menanam kefahaman dan kesedaran kepada rakyat mengenai sensitiviti jenayah ini.
"Daripada aspek agama sampailah kepada aspek-aspek lain termasuk kesedaran beragama, semuanya perlu diperkukuhkan," katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, ibu bapa, agensi kerajaan dan pihak berkuasa agama supaya bersama-sama memainkan peranan membanteras jenayah.
Dalam masa sama, Mohamed Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada polis atas usaha berterusan membanteras jenayah di negeri itu.
Sebelum itu Sinar Harian pada Isnin melaporkan kes bunuh di Kelantan merekodkan peningkatan lebih 100 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan pihak polis.
Mohd Yusoff berkata, sebanyak lima kes bunuh direkodkan setakat ini berbanding hanya satu kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, polis tidak menolak faktor dadah sebagai antara penyumbang kepada jenayah berkenaan, namun siasatan mendapati tidak semua kes mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.






