
PETALING JAYA – “Okey, ambil giliran seorang-seorang. Saya nak dengar masalah sekolah masing-masing.”
Itu kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek ketika bertemu pengetua sekolah menengah dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 12 sekolah dalam Parlimen Nibong Tebal, pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pertemuan bersemuka itu diadakan bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi sekolah, khususnya membabitkan institusi pendidikan yang mempunyai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Fadhlina, setiap pengetua dan pengerusi PIBG diberi ruang untuk berkongsi permasalahan serta perkara yang masih diperlukan bagi membantu calon SPM.
“Ada perkara yang boleh diusahakan melalui Pusat Khidmat. Ada yang perlu dibawa ke peringkat KPM. Yang penting, jangan simpan atau sorok. Kalau sekolah dalam kawasan sendiri pun kita tak tahu masalahnya, susahlah,” katanya.
Dalam pertemuan sama, Fadhlina turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada setiap PIBG bagi melaksanakan program bersama calon SPM.
Katanya, peruntukan berjumlah RM60,000 itu membabitkan 12 sekolah di Parlimen Nibong Tebal.
“Gunakan sebaiknya untuk anak-anak kita. Peperiksaan makin dekat, kita bantu mana yang boleh supaya mereka masuk ke dewan peperiksaan nanti dengan persediaan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengetua dan pengerusi PIBG yang berkongsi masalah secara terus terang dalam pertemuan berkenaan.
“Saya dah dengar, sekarang bahagian saya pula untuk usahakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ambil giliran, saya nak dengar masalah sekolah masing-masing – Fadhlina appeared first on Kosmo Online.




