GEORGE TOWN – Sebuah ambulans yang sedang dalam perjalanan menjalankan tugas kecemasan terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Gambir, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.02 pagi itu, ambulans berkenaan dipercayai sedang melalui simpang lampu isyarat di hadapan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan siren dipasang sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.06 petang hari sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia, seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dipercayai telah melanggar ambulans berkenaan ketika kenderaan kecemasan itu sedang melintas di persimpangan lampu isyarat.
“Akibat pelanggaran tersebut, ambulans berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Proton Saga yang sedang berhenti di lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kemalangan itu menyebabkan pemandu ambulans lelaki berusia 51 tahun mengalami kecederaan ringan.
Katanya, tiga lagi penumpang ambulans yang terdiri daripada penolong pegawai perubatan masing-masing berusia 35, 35 dan 41 tahun turut mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu Perodua Axia berkenaan mengalami kecederaan di bahagian dada, tulang rusuk serta pinggang dan telah menerima rawatan lanjut.
"Sementara pemandu Proton Saga yang merupakan seorang pemandu e-hailing berusia 65 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa ketika kejadian, ambulans berkenaan sedang dalam perjalanan untuk mengambil seorang pesakit.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai susulan kemalangan melibatkan kenderaan kecemasan berkenaan.


