AMD Akan Memperlihatkan Hala Tuju Syarikat Berkenaan Portfolio Produk Pada Bulan November Ini

TechnologyBusiness & Finance
19 Aug 2025 • 11:51 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

AMD dilaporkan akan memperlihatkan hala tuju syarikat dan membuat sejumlah pengumuman mengenai produk-produk semikonduktor mereka sewaktu acara Financial Analyst Day yang akan diadakan pada bulan November ini di New York.

Seperti yang sedia maklum, AMD kini menawarkan cip pemprosesan AMD Ryzen 9000 menggunakan arkitektur AMD ZEN 5 dan juga AMD Radeon RX 9000 menggunakan arkitektur grafik RDNA 4 untuk pengguna-pengguna umum.

image is not available

Ini merupakan peluang terbaik untuk pucuk pimpinan AMD, yang dikepalai oleh Dr Lisa Su sebagai CEO untuk memperlihatkan hala tuju syarikat untuk beberapa tahun akan datang. Ini termasuklah memperlihatkan butiran lanjut mengenai siri cip pemprosesan AMD ZEN 6, RDNA 5 dan projek-projek lain yang akan memanfaatkan penggunaan cip-cip pemprosesan ini, seperti untuk menguasakan konsol Sony PlayStation 6 yang akan datang.

Dalam pada itu, ia dijangka bahawa AMD juga akan menguatkan lagi pegangan mereka dalam pasaran CPU pusat data dan penguasaan AI, yang sehingga kini dilihat dipegang kuat oleh NVIDIA. AMD dijangka akan memperlihatkan butiran lanjut mengenai CPU pusat data AMD EPYC mereka yang hadir dengan 256 teras AMD ZEN 6, dan mungkin juga AMD Instinct MI400 yang mungkin akan dikuasakan oleh teknologi perkomputeran CDNA 5.