HP Mengemaskini Penawaran Desktop Gaming Mereka Dengan Omen 35L Dan Omen 45L

TechnologyGaming
15 Aug 2025 • 4:09 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

HP dan AMD baru-baru ini telah mengadakan acara pelancaran produk Level Reforge yang berlangsung di Los Angeles, California di Amerika Syarikat baru-baru ini untuk memperlihatkan produk-produk terbaru mereka.

Salah satu daripada produk tersebut ialah kemaskini kepada siri komputer gaming desktop HP, iaitu Omen 35L dan juga Omen MAX 45L yang kini hadir bukan sahaja dengan rekaan yang dikemaskini, tetapi juga spesifikasi komponen yang telah dinaiktarafkan.

Bermula dengan HP Omen 35L, ia kini hadir dengan pilihan tambahan yang dinamakan HP Omen 35L Stealth Edition yang tidak mempunyai pencahayaan RGB yang dipasang pada komputer tersebut. Dari segi spesifikasi komputer pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan pilihan cip sehingga Intel Core i7-14700F ataupun AMD Ryzen 9 9950X3D dan pilihan kad grafik dari NVIDIA GeForce RTX 5050 sehingga NVIDIA GeForce RTX 5090.

image is not available

Dari segi penawaran memori dan storan pula, Omen 35L akan hadir dengan sokongan untuk 128GB memori DDR5, manakala Omen 35L Stealth Edition akan memperlihatkan penawaran memori 64GB. Dari segi storan, kedua-dua model ini akan hadir dengan pilihan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB.

Untuk Omen MAX 45L pula, ia akan hadir dengan saiz rangka yang lebih besar untuk memuatkan sistem penyejukan cecair terbina yang dilihat akan menggunakan sistem penyejukan cecair yang digabungkan dengan rekaan ruangan khusus untuk komponen radiator untuk memastikan bahawa ia hanya akan menyedut udara sejuk dari luar.

image is not available

Dari segi penawaran komponen pula, HP Omen 45L hanya akan menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen 9000, sehingga cip AMD Ryzen 9 9950X3D sama yang diperlihatkan pada HP Omen 35L. Penawaran kad grafik juga dilihat lebih berkuasa, bermula dengan NVIDIA GeForce RTX 5070 sehinggalah NVIDIA GeForce RTX 5090.

HP mengatakan bahawa HP Omen 35L dan HP Omen 35L Stealth Edition akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih bermula bulan Oktober 2025, manakala HP Omen MAX 45L akan mula dijual sekitar bulan Disember 2025, mungkin sewaktu musim cuti di negara-negara barat.