Pada minggu lepas kami telah melaporkan tentang perihal Intel memperkenalkan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra G3 untuk konsol permainan mudah-alih yang akan diperkenalkan pada tahun ini, lengkap dengan cip grafik Intel Arc B300 terbina, seperti apa yang diperlihatkan pada cip pemprosesan Intel Panther Lake.
Terkini, spesifikasi tambahan berkenaan cip pemprosesan tersebut telah dikongsi, dimana Intel nampaknya akan meminta syarikat-syarikat yang mahu menggunakan cip pemprosesan tersebut untuk memadankannya bersama-sama cip pemprosesan memori khusus, iaitu memori LPDDR5X-8533 yang hadir dengan kelajuan 8533MT/s.

Ini tidak begitu jauh dengan spesifikasi Intel Core Ultra X 300 yang mana Intel menetapkan penggunaan memori LPDDR5X dengan spesifikasi minima khusus 9000MT/s untuk komputer-komputer riba mereka. Ini dilihat adalah untuk memastikan bahawa jenama-jenama tersebut menggunakan memori LPDDR5X berkualiti dan mengekalkan prestasi cip pemprosesan tersebut pada tahap yang menyerupai komputer riba apabila dilancarkan kelak.
Intel Arc B380, cip pemprosesan grafik yang akan diperkenalkan melalui cip Intel Core Ultra G3 Extreme dilihat hadir sama dengan spesifikasi Intel Arc B390, dengan 12 teras Xe3 terbina, tetapi dengan kelajuan 2.3GHz, hanya 200MHz lebih perlahan berbanding apa yang ditawarkan pada Intel Arc B390. Untuk Intel Arc B360 pula, cip pemprosesan tersebut hadir dengan 10 teras Xe3 dan akan digunakan pada cip Intel Core Ultra G3 asas yang akan diperlihatkan pada konsol permainan lebih mampu-milik.
Jangkaan awal ialah konsol-konsol dengan cip pemprosesan ini akan mula diperkenalkan kepada pengguna bermula suku kedua tahun ini.


