Spesifikasi Cipset Siri 900 Untuk Intel Nova Lake Tertiris – Model-Model Baharu, Soket Baru

Technology
10 Feb 2026 • 5:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Siri cip pemprosesan Intel Nova Lake akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini, dan dengannya siri cip pemprosesan desktop Intel yang akan dihasilkan menggunakan proses 18A mereka, sama seperti apa yang dilakukan untuk siri cip pemprosesan komputer riba Intel Core Ultra 300 “Panther Lake”.

Terkini, maklumat berkenaan cipset cip pemprosesan tersebut, iaitu komponen yang menguasakan papan induk sesebuah cip pemprosesan telah tertiris, dengan sejumlah besar butiran mengenainya diperlihatkan.

Dari segi model papan induk yang akan tiba, lima buah model akan diperlihatkan, termasuklah Intel B960, Z970, Z990, Q970 dan W980. Beberapa perubahan telah diperlihatkan, dimana Intel tidak lagi akan menggunakan siri cipset H untuk papan induk kelas asas.

Kedudukan tersebut diambil-alih oleh siri B960, dan akan beralih kepada Z970 dan Z990. Z970 sebelum ini dilihat sebagai kelas papan induk pengguna paling premium dengan kebolehan melewahjam (overclocking) terbina dan jumlah I/O terbanyak. Kedudukan tersebut kini disandang oleh papan induk Z990, dimana perbezaan paling ketara yang dapat diperlihatkan diantara kedua-dua siri cipset tersebut adalah jumlah lorong PCIe (34 vs 48) dan jumlah palam I/O seperti USB dan Thunderbolt yang terbina.

Bercakap mengenai lewahjam, cipset Z970 akan hadir dengan kemampuan lewahjam melalui fungsi multiplier ataupun gandaan kelajuan asas, manakala cipset Z990 akan hadir dengan kemampuan lewahjam menggunakan multiplier dan juga pengubahsuaian kelajuan asas (base clock).

Siri papan induk Q970 dan W970 pula dilihat sedikit lebih menarik. Kedua-dua papan induk ini diperkenalkan untuk tujuan binaan komputer desktop kelas perniagaan (Q970) dan workstation (W970). Papan induk Q970 mungkin hadir dengan 44 lorong PCIe, tetapi ia tidak mempunyai sebarang kemampuan lewahjam, dari CPU sehinggalah ke memori (Intel XMP).

Papan induk Intel W970 pula dilihat hadir dengan 48 lorong PCIe dan mempunyai sokongan untuk memori ECC (Error Correcting Code) dan kemampuan lewahjam Intel XMP. Kedua-dua papan induk ini juga akan hadir dengan sokongan untuk teknologi sekuriti dan pengurusan digital Intel vPro.

Dan ya, seperti yang dijangka, soket papan induk ini, yang dinamakan LGA 1954 tidak akan menyokong cip-cip pemprosesan sebelumnya seperti Arrow Lake (LGA 1851) dan Alder Lake (LGA 1700), tetapi penyejuk CPU sedia ada berkemungkinan besar boleh digunakan semula.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, siri cip pemprosesan Intel Nova Lake dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga atau keempat tahun ini dan akan mengembalikan Intel semula sebagai syarikat yang mengeluarkan cip pemprosesan mereka sendiri.