Bersama-sama dengan pengumuman berkenaan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 400 MAX, mereka turut memperkenalkan komputer pemprosesan AI mereka sendiri yang dinamakan AMD Ryzen AI Halo yang tampil menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen AI MAX+ 395 dari generasi sebelum ini.
Cip pemprosesan ini hadir dengan 16 teras AMD Zen 5 dan hadir dengan kelajuan asas 3.1GHz dengan kemampuan lewahjam sehingga 5.1GHz dan merumahkan cip pemprosesan grafik AMD Radeon 8060S terbina didalamnya. Bersama-sama dengan cip ini juga ialah memori LPDDR5X terbina sebanyak 128GB yang boleh dikongsikan sebagai VRAM bersama cip grafik.

Kelebihan utama komputer AMD Ryzen AI Halo apabila dibandingkan dengan NVIDIA DGX Spark ialah komputer yang dikuasakan cip AMD boleh menggerakkan kedua-dua sistem operasi Microsoft Windows dan juga Linux, manakala tawaran NVIDIA hanya boleh menggerakkan sistem operasi Linux sahaja.
Dari segi kemampuan memproses tugasan AI, komputer Ryzen AI Halo hadir dengan 50 AI TOPS, dan ini tidak termasuk 40 teras CU yang diperlihatkan melalui cip grafik AMD Radeon 8060S. Sama seperti DGX Spark, komputer AI AMD ini boleh menggerakkan model bahasaraya dengan 200 bilion parameter.
AMD Ryzen AI Development Center pula alah antaramuka yang dibangunkan dengan sokongan untuk sistem operasi Windows dan Linux yang membolehkan pembangun AI mengurangkan masa untuk mengkonfigurasi perisian mereka pada komputer supaya proses pembinaan dan penggunaan sistem AI boleh dimulakan dengan cepat. AMD AI Playbooks ialah satu set dokumentasi dan skrip yang membantu pembangun memendekkan lengkung pembelajaran mereka di platform.

Pra-tempahan untuk AMD Ryzen AI Halo sudahpun dibuka pada harga $3999 dengan APU AMD Ryzen AI MAX+ 395. Mereka juga mengesahkan bahawa komputer Ryzen AI Halo dengan cip AMD Ryzen AI MAX+ Pro 495 juga akan diperkenalkan kelak.


