AME Elite bina kilang komponen aeroangkasa, perubatan Hyatech di Johor

LocalBusiness & Finance
10 Aug 2026 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AME Elite bina kilang komponen aeroangkasa, perubatan Hyatech di Johor Image from: AME Elite bina kilang komponen aeroangkasa, perubatan Hyatech di Johor liza10/08/2026 - 12:45 Kilang itu bakal menjadi antara pangkalan pembuatan penting Hyatech di Asia Tenggara, selaras dengan rancangan pengembangan luar negara syarikat bernilai AS$70 juta yang diumumkan pada November 2025 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos – AME Elite Consortium Berhad menerusi anak syarikatnya, Pentagon Land Sdn Bhd memperoleh kontrak untuk membina kilang pembuatan bagi HYA Industry (Malaysia) Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada Wuxi Hyatech Co Ltd (Hyatech) yang disenaraikan di Shanghai.

 

Kilang itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 2.75 hektar (6.8 ekar) dalam kawasan perindustrian i-TechValley milik AME Elite di Iskandar Puteri, Johor dengan keluasan binaan kira-kira 220,000 kaki persegi.

 

Kilang berkenaan akan menempatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran komponen aeroangkasa serta tempaan implan ortopedik perubatan keluaran Hyatech.

 

“Ia bakal menjadi antara pangkalan pembuatan penting Hyatech di Asia Tenggara, selaras dengan rancangan pengembangan luar negara syarikat bernilai AS$70 juta yang diumumkan pada November 2025.

 

“Pengembangan tersebut merangkumi penubuhan operasi di Malaysia dan Singapura bagi menyokong pembangunan pasaran global Hyatech, mengoptimumkan keupayaan rantaian bekalan serta mengukuhkan kedudukan pembuatan berketepatan tinggi syarikat di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kukuhkan Ekosistem Pembuatan Berteknologi Tinggi

Kilang Hyatech itu turut memperluas portfolio penyewa syarikat multinasional di i-TechValley dalam Koridor Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Menurut AME Elite, projek berkenaan seiring dengan peralihan Malaysia ke arah sektor pembuatan berteknologi tinggi menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

 

Perkembangan itu turut mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap ruang perindustrian yang mampu menampung operasi kompleks dan memerlukan spesifikasi tinggi, khususnya dalam sektor aeroangkasa dan penjagaan kesihatan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite Consortium Berhad, Dylan Tan Teck Eng berkata pemilihan i-TechValley oleh Hyatech mengukuhkan keupayaan kumpulan dalam menyediakan kemudahan industri yang memenuhi keperluan operasi berketepatan tinggi.

 

Katanya, syarikat multinasional yang mahu bertapak di Asia Tenggara memerlukan kemudahan khusus yang memenuhi piawaian global, sekali gus membuka peluang kepada AME Elite untuk terus menyokong kemasukan modal rentas sempadan bernilai tinggi ke dalam JS-SEZ.

 

Rekod AME Elite Dalam Sektor Aeroangkasa

Projek terbaharu itu turut memperluaskan pendedahan AME Elite dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa selepas kumpulan itu baru-baru ini menerima kontrak bernilai RM214.1 juta untuk membina kemudahan ruang ujian aeronautik bagi KLIA Aeropolis Sdn Bhd.

 

Selain itu, AME Elite sedang membangunkan kompleks perindustrian untuk banyak penyewa di Subang menerusi kerjasama antara Mitsui Fudosan Group dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

 

Kompleks berkenaan menyokong perkembangan ekosistem penerbangan, kargo udara serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di Malaysia.

 

Di i-TechValley, Hyatech akan menggunakan teknologi berketepatan tingginya untuk menghasilkan komponen kompleks bagi sektor yang mempunyai keperluan khusus, termasuk bilah pemampat untuk enjin penerbangan komersial.

 

Bagi sektor penjagaan kesihatan pula, keupayaan teknologi yang sama akan digunakan Hyatech untuk memenuhi permintaan pasaran global bagi peranti ortopedik, sekali gus menjadikan kilang di Johor sebagai sebahagian daripada strategi pengeluaran dan pengembangan antarabangsa kumpulan itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved