CPE Technology labur RM31 juta beli kilang dan 70 mesin baharu di Johor

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 9:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CPE Technology labur RM31 juta beli kilang dan 70 mesin baharu di Johor Image from: CPE Technology labur RM31 juta beli kilang dan 70 mesin baharu di Johor liza06/08/2026 - 09:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – CPE Technology Bhd melabur sebanyak RM31 juta untuk membeli sebuah kilang di Ulu Tiram, Johor serta 70 unit mesin baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasinya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CPE berkata, pembelian tersebut melibatkan tanah seluas 0.99 ekar bersama sebuah bangunan kilang bernilai RM10 juta, selain pembelian 20 mesin berteknologi tinggi bernilai RM21.02 juta.

 

Kedua-dua urus niaga itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Champion Precision Technology Sdn Bhd.

 

“Pembelian aset tersebut sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk memperkukuh keupayaan pembuatan dan memperluaskan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan perniagaan yang semakin meningkat.

 

“Selain meningkatkan kapasiti operasi, pelaburan itu turut dijangka membantu syarikat menambah baik kecekapan pengeluaran serta menghasilkan komponen dengan tahap ketepatan  yang lebih tinggi,” katanya.

 

Strategi Perluas Kilang Pengeluaran

Kilang itu dibeli daripada Flomatic Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar peti sejuk pada harga RM10 juta.

 

CPE Technology berkata, lokasi kilang tersebut yang berhampiran dengan kemudahan sedia ada syarikat memberi kelebihan untuk membangunkan barisan pengeluaran baharu dalam tempoh terdekat tanpa perlu berpindah ke kawasan lain.

 

Langkah itu membolehkan syarikat mengoptimumkan operasi sedia ada di samping menyokong pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang.

 

Sementara itu, pembelian sebanyak 70 unit mesin daripada Yamazen (M) Sdn Bhd dan Numac Machinery Sdn Bhd bertujuan memenuhi keperluan semasa serta permintaan yang dijangka meningkat pada masa hadapan.

 

Menurut syarikat, penggunaan mesin baharu itu akan meningkatkan produktiviti, memperkukuh kecekapan operasi serta meningkatkan ketepatan penghasilan komponen berkualiti tinggi.

 

Urus Niaga Dijangka Selesai Menjelang Suku Kedua 2027

CPE Technology menjangkakan kedua-dua urus niaga tersebut akan dimuktamadkan menjelang suku kedua tahun 2027.

 

Yamazen merupakan pembekal mesin dan peralatan khusus manakala Numac Machinery ialah pembekal mesin serta peralatan industri.

 

Pelaburan baharu itu mencerminkan komitmen CPE Technology untuk terus mengembangkan kapasiti pembuatannya bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan memenuhi keperluan pelanggan yang dijangka meningkat pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved