Perang tarif antara China dan Amerika Syarikat sedikit reda selepas kedua-dua negara bersetuju mengurangkan tarif sebanyak 115% selama 90 hari. Tetapi perang teknologi masih diteruskan dengan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat memberikan amaran kepada syarikat di dunia untuk tidak menggunakan cip kecerdasan buatan (AI )keluaran Huawei.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, penggunaan cip seperti Huawei Ascend 910C akan melanggar kawalan eksport teknologi yang dikenakan Amerika Syarikat. Walaupun cip dikeluarkan oleh Huawei di China, teknologi milik Amerika Syarikat dipercayai digunakan tanpa kebenaran. Oleh sebab itu pengguna cip ini boleh menyebabkan syarikat dikenakan hukuman penalti oleh Amerika Syarikat.
Menerusi siri Ascend 910, Huawei ingin memberikan persaingan kepada NVIDIA dalam pasaran cip AI. Sistem CloudMatrix 384 yang menggunakan Ascend 910C misalnya mempunyai prestasi lebih tinggi berbanding sistem NVIDIA GB200 NVL72. Huawei dilaporkan mula menawarkan CloudMatrix 384 kepada pelanggan di China yang ingin mencari alternatif kepada sistem keluaran NVIDIA dan AMD. China dikenakan sekatan import cip dengan teknologi Amerika Syarikat bagi memastikan ia tidak akan menjadi peneraju teknologi AI.
CEO NVIDIA Jensen Huang sendiri melihat Huawei sebagai pesaing kerana mereka mempunyai kemampuan serta sokongan kerajaan China. Beliau juga menggesa Amerika Syarikat lebih serius menghasilkan pakar AI tempatan kerana lebih separuh penyelidik AI terbaik dunia adalah dari China




