Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat melarang import semua penghala (router) pengguna baharu yang dibuat di luar negara, dengan fokus utama pada produk buatan China. Larangan ini tidak menjejaskan model sedia ada yang sudah berada di pasaran atau sedang digunakan.

Larangan import dikeluarkan selepas mendapati penghala import menimbulkan “risiko keselamatan siber yang serius. Ia dikatakan telah dieksploitasi untuk menyerang rangkaian rumah, mengganggu infrastruktur internet, menjalankan aktiviti pengintipan dan mencuri harta intelek. Kesemua risiko sekuriti ini mempunyai kaitan dengan serangan penggodam Volt Typhoon dan Salt Typhoon.
China menguasai sekurang-kurangnya 60% pasaran penghala rumah di Amerika Syarikat. Ura-ura produk keluaran TP-Link ingin diharamkan di Amerika sudah kami laporkan sejak 2024. Halangan import penghala yang majoriti diimport dari China ini tiba beberapa bulan selepas Amerika mengharamkan import dron dan komponen dron buatan negara luar yang turut menyasarkan China.



