AMFF 2026 angkat makanan sebagai jambatan budaya, gaya hidup Malaysia

LocalFood
19 Aug 2026 • 9:41 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AMFF 2026 angkat makanan sebagai jambatan budaya, gaya hidup Malaysia

KUALA LUMPUR: Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali untuk edisi kedua dengan skala lebih besar, mengangkat makanan sebagai jambatan yang menghubungkan kepelbagaian budaya, seni dan gaya hidup rakyat Malaysia.

Berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa, AMFF 2026 dianjurkan Raydiates Blue Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Festival Budaya Malaysia 2026, bersempena sambutan Hari Malaysia.

Bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, festival enam hari itu menghimpunkan lebih 80 vendor membabitkan gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta aktiviti komuniti.

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, AMFF yang bermula dengan konsep makanan kini diperluaskan sebagai platform yang menghubungkan gastronomi dengan budaya dan gaya hidup masyarakat.

“AMFF bermula dengan makanan kerana ia antara penghubung paling kuat rakyat Malaysia. Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama.

“Itulah semangat ‘Kita Malaysia’ yang mahu kami bawakan sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi lima pengalaman utama iaitu Taste Malaysia, Move Malaysia, Style Malaysia, Play Malaysia dan Celebrate Malaysia, yang membolehkan pengunjung menjadi sebahagian daripada pengalaman festival, bukan sekadar penonton.

Katanya, antara pengisian yang disediakan termasuk Foodie Fiesta, demonstrasi masakan, Cultural Jam, persembahan tradisional dan kontemporari, aktiviti keluarga, program kecergasan serta aktivasi jenama dan gaya hidup.

Kemuncak penganjuran di Taman Tasik Titiwangsa ialah Malam Kita Malaysia pada 15 September, iaitu mini konsert khas yang menggabungkan muzik, seni dan budaya sempena Ambang Hari Malaysia.

Sambutan diteruskan pada 16 September menerusi SimplyFit Zumba Malaysia Day serta pelbagai program kecergasan, keluarga dan komuniti bersempena Hari Malaysia.

Sementara itu, perjalanan AMFF 2026 diteruskan ke Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dari 9 hingga 11 Oktober dengan skop lebih luas merangkumi gastronomi, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, gaya hidup dan hiburan.

Penganjuran di MAEPS itu bakal menghimpunkan kira-kira 600 vendor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti menerusi kerjasama strategik dengan MySihat Expo 2026, HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 dan FRAGMANIA.

Rayme berkata, penganjuran di MAEPS akan mengembangkan AMFF daripada sekadar festival makanan kepada pengalaman gaya hidup yang lebih menyeluruh.

“Makanan tetap menjadi nadi AMFF, tetapi kali ini ia bertemu dengan kesihatan, kecergasan, kesejahteraan mental, muzik dan komuniti.

“Kami mahu masyarakat datang bukan sekadar untuk melihat pameran, tetapi untuk makan, bergerak, mendapatkan inspirasi, menikmati hiburan dan mengalami sendiri gaya hidup yang lebih sihat dan seimbang,” katanya.

Antara pengisian utama ialah Podcast Anjung Malaysiaku Sihat yang membincangkan kesihatan, kesejahteraan mental, pemakanan, kecergasan dan gaya hidup, selain ‘Indie Special Night’ yang memberi ruang kepada bakat serta komuniti muzik indie tempatan. – UTUSAN

The post AMFF 2026 angkat makanan sebagai jambatan budaya, gaya hidup Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved