
PETALING JAYA – AmFirst Real Estate Investment Trust (AmFirst REIT) memulakan tahun kewangan 2027 (FY2027) dengan langkah yang baik selepas merekodkan lonjakan keuntungan selepas cukai sebanyak 102.8 peratus bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026.
Pengurusnya, AmREIT Managers Sdn. Bhd. (AmREIT) berkata, keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM6.6 juta berbanding RM3.3 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lalu.
Pendapatan bersih direalisasi daripada operasi turut mencatatkan pertumbuhan 10 peratus kepada RM5.6 juta berbanding RM5.1 juta bagi tempoh yang sama sebelum ini.
Hasil operasi AmFirst REIT bagi suku di bawah kajian turut melonjak 7.5 peratus kepada RM27.2 juta.
“Prestasi memberangsangkan ini dipacu terutamanya oleh peningkatan kadar penginapan keseluruhan portfolio hartanah yang naik kepada 88.3 peratus berbanding 83.1 peratus pada tahun lalu, disokong oleh kadar ambilan premis yang lebih baik di beberapa lokasi, katanya dalam kenyataan.
Kadar penginapan yang lebih tinggi ini secara langsung menyumbang kepada pendapatan sewaan yang lebih kukuh, peningkatan hasil tempat letak kereta serta sumbangan yang lebih baik daripada operasi ruang kerja bersama (co-working space).
Selain pertumbuhan hasil, pengurusan kos yang berdisiplin turut membantu melonjakkan prestasi syarikat. Perbelanjaan hartanah susut 1.9 peratus kepada RM11.4 juta berikutan kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih rendah, pemulihan kos elektrik daripada penyewa, serta penerimaan rebat elektrik secara one-off daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pada masa sama, kos kewangan AmFirst REIT berkurangan 3.3 peratus kepada RM8.0 juta, didorong oleh purata kos pinjaman yang lebih rendah iaitu pada kadar 4.09 peratus berbanding 4.32 peratus pada suku pertama tahun lalu.
Pencapaian ini berjaya direkodkan di sebalik ketiadaan pendapatan pampasan one-off sebanyak RM1.7 juta yang pernah diiktiraf pada suku sama tahun lalu, serta penutupan sementara The Summit Hotel bagi kerja-kerja penjenamaan semula dan pengubahsuaian secara menyeluruh. -KOSMO! ONLINE
The post AmFirst REIT catat untung RM6.6 juta suku pertama appeared first on Kosmo Digital.





