
PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) merekodkan Keuntungan selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI) berjumlah RM31.7 juta bagi suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2026, peningkatan sebanyak 58 peratus daripada RM20.1 juta yang dicapai pada suku pertama.
Peningkatan tersebut terutamanya didorong oleh margin bahan api yang lebih baik di Stesen Janakuasa Tanjung Bin (TBPP) milik Kumpulan di Johor dan Stesen Janakuasa Tanjung Bin Energy (TBEPP), yang telah kembali beroperasi sepenuhnya pada akhir Januari 2026.
Perniagaan penyelesaian alam sekitar Malakoff, menerusi Alam Flora Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya, Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. merekodkan PATMI sebanyak RM18.3 juta.
Dari sudut pemulihan, kemajuan ketara telah dicapai di Kompleks Tanjung Bin. Sistem pengendalian arang batu telah dipulihkan sepenuhnya mengikut kapasiti reka bentuk sehingga 5,000 tan sejam susulan kejayaan penugasan semula ketiga-tiga laluan tali sawat penghantar, dengan kawasan terjejas di jeti telah dibersihkan dan dipulihkan sepenuhnya.
Inventori arang batu kekal berada di atas paras stok simpanan minimum, sekali gus menjamin kebolehpercayaan operasi yang berterusan untuk TBPP dan TBEPP.
Manakala bagi unit 30 TBPP yang sedang menjalani pembaikan, kerja-kerja pemulihan berjalan dengan lancar. Malakoff berjaya memasang pemutar unit 30 pada 9 Ogos 2026.
Kedua-dua TBPP dan TBEPP secara keseluruhannya telah menormalisasikan operasi dan beroperasi berhampiran kapasiti penjanaan penuh mereka.
Mengulas mengenai prestasi Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, Malakoff berada di posisi yang kukuh untuk mencatatkan prestasi separuh kedua yang lebih baik.
“Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. menghadapi separuh pertama tahun ini dengan cabaran yang agak sengit berikutan tekanan operasi di TBPP, sekali gus menjejaskan keputusan keseluruhan.
“Usaha pemulihan di Kompleks Tanjung Bin kini telah selesai dan dengan kesemua unit beroperasi pada kapasiti yang hampir penuh, kami menjangkakan prestasi yang jauh lebih kukuh daripada stesen-stesen janakuasa tersebut pada bulan-bulan mendatang.
“Walau bagaimanapun, prestasi operasi yang kukuh daripada stesen-stesen janakuasa berkuasa gas kami di Lumut dan Prai membuktikan daya tahan portfolio penjanaan pelbagai Malakoff, mencerminkan keupayaan kami untuk mengekalkan kestabilan operasi dan kewangan meskipun aset individu menghadapi tekanan sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Untung Malakoff naik 58% susulan pemulihan aset appeared first on Kosmo Digital.





